KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menegaskan bahawa 'post mortem' mengenai kegagalan Malaysia pada Sukan SEA Kemboja 2023 bukan untuk mencari salah mana-mana pihak.
Beliau berkata, 'post mortem' itu bertujuan mencari kelemahan dan kekurangan untuk ditambah baik menjelang kejohanan-kejohanan sukan akan datang.
"Post mortem yang kita lakukan ini bukanlah untuk mencari kesalahan, kita nak kenal pasti kelemahan dan kekurangan yang ada untuk kita perbaiki program yang ada.
"Kita fokus perbaiki untuk jangka masa pendek seperti Sukan Asia dan juga jangka masa panjang,” katanya.
Beliau menjelaskan, terdapat beberapa perkara dibangkitkan dan pihaknya akan mengumpul semua hasil serta membuat rumusan lebih tersusun.
Katanya, semua itu akan dikumpulkan dan dipersembahkan kepada ahli lembaga pengarah dan menteri untuk melihat perkara yang perlu diatasi.
"Antara yang dibangkitkan oleh persatuan sukan adalah mengenai pengurusan program latihan, pengurusan atlet, pelepasan daripada pekerjaan dan lain-lain.
"Kita akan lihat mana perkara yang perlu diatasi dengan segera dan dirangka dalam jangka masa yang panjang,” katanya.
Kontinjen negara pada Sukan SEA lalu mencatat pencapaian terburuk dalam sejarah apabila menduduki tempat ketujuh dan gagal mencapai sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan sebelum ini.
Malaysia sekadar mengutip 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa.