SHAH ALAM - [PEMBETULAN] Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa segelintir barisan menteri Kerajaan Perpaduan ketika ini hanya mengejar gaji tinggi tetapi gagal melaksanakan tugas.
Dr Mahathir mendakwa, disebabkan hanya mengejar gaji besar, kerajaan yang ada sekarang tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat.
"Yang diminati oleh menteri ialah dapat gaji. Orang (menteri) gaji besar sekarang tak semacam dulu.
"Saya dulu jadi Perdana Menteri gaji tak besar macam itu. Tapi sekarang bukan main jadi menteri pun (gaji) dah macam Perdana Menteri (dahulu). Sebab itu masing-masing berlumba-lumba nak jadi menteri malah (jawatan) menteri besar pun ramai berminat," katanya.
Beliau berkata demikian pada program Bicara Bangsa Tanah Aku Dulu, Kini, Ke Hadapan bersama beliau anjuran Proklamasi Orang Melayu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini pada Sabtu.
Townhall itu menyaksikan bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed dan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin serta Setiausaha Proklamasi Orang Melayu, Datuk Marzuki Yahya menjadi moderator bersama.
Dr Mahathir yang juga Pengerusi Proklamasi Orang Melayu menjelaskan, kerana kelemahan pentadbiran itu negara banyak terlepas peluang pelaburan.
"Ada orang yang nak melabur mereka jumpa saya, mereka kata nak melabur di Pulau Langkawi sebanyak RM500 juta. Tapi katanya tak ada menteri yang sudi jumpa dengan dia.
"Selain itu ada juga seorang lagi datang jumpa saya cakap nak melabur tapi tak ada layanan (juga). Jadi sebenarnya bukan orang tak nak (datang melabur). Oang nak tapi kerana tak ada layanan mereka pergi ke Indonesia, Vietnam dan Filipina," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN:Sedia kongsi idea, Tun M dakwa tiada PM selepas beliau tampil
Tun M saran guna khidmat pakar atasi penyusutan ringgit
'Salahkah saya kata Malaysia adalah Tanah Melayu?' - Tun M
DAP mahu jadikan Malaysia negara berbagai kaum, sekular - Tun M
Tun M ajak Melayu bersatu lawan musuh ada agenda tersirat - Azmin