CHANGLUN - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan semua pihak supaya tidak terus menjatuhkan hukum ke atas seseorang meskipun berbeza pendapat antara satu sama lain.
Beliau berpandangan tidak salah sekiranya seseorang itu memiliki perbezaan pendapat dengan pihak lain.
"Boleh tak beza pendapat. Boleh. Ada tak adab, ada. Maknanya, jikalau beza pendapat boleh tetapi jangan hukum. Jangan hantar orang itu pergi neraka.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Warga Masyarakat Daerah Kubang Pasu di tapak projek pembinaan Masjid Baharu Changlun, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu Anwar menyarankan agar kitab-kitab lama khazanah keilmuan Islam dijadikan sumber rujukan dalam kehidupan terutama berkaitan adab dan perbezaan pendapat dalam Islam.
Beliau memaklumkan, pemahaman mendalam tentang keilmuan Islam boleh menyelamatkan kekeliruan dan akidah umat Islam terutama dalam kalangan generasi baharu.
"Orang sekarang dia tidak rujuk kitab-kitab lama, itu masalahnya. Bila kita tidak rujuk, jika tak amal maknanya kita memadamkan khazanah ilmu yang disebut ini, khazanah ilmu yang lama, kitab yang lama ini kita harus baca, tulis dan laksanakan.
"Tetapi dengan syarat saya kata mesti faham, mesti rujuk betul-betul,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan menghargai usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang kini mengusahakan penerbitan semula kitab-kitab lama itu.
"Jakim dan ABIM akan mengusahakan penerbitannya dan edarannya supaya kita guna al-Quran, sunnah dan juga kitab-kitab lama ini,” katanya.