KLUANG - Seorang pekerja wanita cedera di tangan semasa cuba melawan dua lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian samun di kaunter hotel bajet di Jalan Sultanah di bandar ini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian pada jam 12.55 tengah malam itu berlaku semasa wanita berkenaan sedang bekerja sebelum didatangi dua lelaki dengan salah seorang daripadanya membawa parang.
"Pada mulanya seorang daripada suspek telah pergi ke kaunter untuk berbual-bual dengan mangsa.
"Kemudian suspek kedua masuk dengan memegang sebilah parang terus mengacukan kepada mangsa dan menggeledah laci kaunter.
"Mangsa mengalami kecederaan di tangan sebelah kiri semasa cuba melawan suspek kedua yang mengambil telefon bimbit miliknya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, suspek tersebut mengambil wang tunai milik majikan mangsa berjumlah RM350 dan kedua-duanya melarikan diri dengan sebuah kereta Toyota Vios putih.
Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Berikutan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan menyalurkan maklumat jika berlaku kejadian jenayah menerusi talian 07-7784222 atau hotline 07-7766822 atau tablet DCC 04-3656822.