Norizam tak terdesak jual Kelantan FC

Iklan
Erfan Gym & Fitness mendedahkan pihaknya serius untuk mengambil alih Kelantan FC daripada pemilik pasukan itu, Norizam Tukiman.

PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman mengakui tidak terdesak untuk menjual kelab tersebut, namun dua tawaran yang diterima mendorongnya membuat pertimbangan sewajarnya.

Di sebalik tawaran itu, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham menjelaskan, perlu membuat penelitian terbaik sebelum melepaskan skuad The Red Warriors (TRW) kepada pemilik baharu.

Iklan
Iklan

"Saya tidak terdesak untuk jual. Ulang, saya tidak terdesak untuk jual Kelantan FC. Cuma ada yang tawar, mana yang lebih baik kita akan tengok,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Pada masa sama, beliau dengan tegas menetapkan tiga kriteria kepada pemilik baharu sebelum kelab dari Pantai Timur itu bertukar tangan.

Iklan

"Pertama, perlu memiliki kemampuan yang lebih baik daripada saya. Kedua, dia sanggup turun padang beri komitmen kepada bola sepak dan pemain serta berdepan dengan peminat tegar Kelantan.

"Syarat khas ketiga, pastikan ada perancangan buat pasukan untuk tiga atau lima tahun ke depan,” jelasnya yang menjadi pemilik Kelantan FC sejak September 2020.

Iklan

Menurut Norizam, Kelantan FC tidak berdepan dengan masalah besar berbanding sebelum beliau mengambil alih pengurusan kelab berkenaan.

"Tiada masalah, ada tawaran lebih baik saya sedia jual, namun sekali lagi ulang, saya tidak terdesak untuk jual,” tegasnya.

Sebelum ini, usahawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau dikenali Datuk Seri Vida mengemukakan surat rasmi kepada Norizam dalam usaha untuk mengambil alih pengurusan kelab itu.

Turut membuat tawaran ialah usahawan muda yang juga pemilik Erfan Gym & Fitness, Erfan Akif Ruslan yang dikatakan sedia melabur sehingga RM10 juta untuk membeli Kelantan FC.

ARTIKEL BERKAITAN:Norizam teruja tawaran RM10 juta daripada Erfan

Erfan Gym & Fitness serius ambil alih Kelantan FC