JARINGAN Alif Ikmalrizal memastikan tiga mata milik Penang FC ketika menewaskan Kelantan FC, 4-3 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Sabtu.
Bagaimanapun, Harimau Kumbang terlebih dulu dikejutkan jaringan pemain The Red Warriors (TRW), Harith Akif Shahar pada minit ke-10.
Namun kegembiraan Kelantan tidak lama apabila Penang kembali menyamakan kedudukan hasil sentuhan Hadin Azman minit ke-19.
Hadin terus menjadi duri dalam daging kepada pasukan dari pantai timur itu apabila meledak dengan gol kedua peribadi pada minit ke-30.
Tuan rumah terus garang apabila menambah jaringan hasil penyudah daripada Rafael Vitor bagi menggandakan kedudukan pada minit ke-41.
TRW yang tidak mengalah kembali memberikan tekanan yang akhirnya berjaya diterjemahkan dalam bentuk jaringan daripada Natanael Ringo dengan gol minit ke-48.
Separuh masa kedua, TRW tampil lebih agresif berjaya menyamakan kedudukan hasil sentuhan Harith Akif pada minit ke-46 untuk gol kedua peribadi dalam perlawanan itu.
Ketika Kelantan berkira-kira membawa satu mata pulang ke Kota Bharu, Alif muncul wira Penang apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-84, sekali gus
menebus kekalahan 0-2 di Stadium Sultan Muhammad IV, pada 5 Mac lalu.
Tiga mata diraih Penang membolehkan Harimau Kumbang mengumpul 19 mata selepas mengharungi 16 perlawanan - lima menang, empat seri, tujuh tewas.
Sementara itu, Kelantan kekal menghuni tangga terakhir liga dengan empat mata setelah mengharungi 15 perlawanan - satu menang, satu seri dan 13 kalah.