PASIR SALAK - Penubuhan Rumah Ngaji di Perak berjaya melahirkan ramai kalangan ummah celik al-Quran sehingga mereka mampu menjadi tenaga pengajar.
Pengerusi Rumah Ngaji Perak, Noor Mazlina Noor Shah berkata, kemajuan itu dapat dilihat dalam tempoh sembilan tahun operasi Rumah Ngaji di negeri ini sejak 2014.
Menurutnya, ramai kalangan peserta yang sebelum ini tidak lancar membaca telah meningkatkan keupayaan diri menerusi kelas mengaji yang dianjurkan Rumah Ngaji di kawasan masing-masing.
"Dulu mereka ini ada yang bertatih belajar, namun tetap terus ikuti kelas mengaji di Rumah Ngaji dan akhirnya ramai kalangan mereka sekarang sudah boleh mengajar pula.
"Lebih membanggakan mereka sanggup hadirkan diri sebagai sukarelawan untuk membantu kalangan peserta baharu di Rumah Ngaji," katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran Rumah Ngaji Surau Ibadur Rahman, Taman Changkat Lada Raya di Kampung Gajah, di sini pada Sabtu.
Pelancaran disempurnakan Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datuk Normah Hanum Ibrahim.
Hadir sama, Pengerusi Surau Ibadur Rahman, Mohamed Aslam Mohammad Ayub; Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Changkat Lada Raya; Amir Hassan Razali dan Penggerak Rumah Ngaji Taman Changkat Lada Raya, Rusliza Abd Malik.
Noor Mazlina berkata, setakat ini sebanyak 122 Rumah Ngaji berjaya ditubuhkan di seluruh negeri dengan penyertaan hampir 7,000 orang.
"Kebanyakan Rumah Ngaji diimarahkan generasi muda dengan peserta paling muda berusia 5 tahun sehinggalah kelompok dewasa dan warga emas berusia 80 tahun," katanya.
Sementara itu, Normah Hanum berkata, penubuhan Rumah Ngaji Surau Ibadur Rahman akan menjadi pencetus kepada budaya cintakan al-Quran kalangan komuniti Felcra.
"Kita harap lebih banyak Rumah Ngaji dapat diwujudkan di sini supaya lebih ramai komuniti Felcra mengambil bahagian menjadikan al-Quran sebagai amalan hidup setiap hari," katanya.
Dalam majlis itu, turut dilancarkan bersama Rumah Ngaji Ustazah Napisah yang beroperasi di Taman Changkat Lada Raya dan Rumah Ngaji Seri Idaman serta Rumah Ngaji An Nuryn masing-masing di Teluk Intan.