KOTA KINABALU - Usaha mengangkat martabat Bajau Suluk Sabah ke peringkat antarabangsa menerusi tarian Mag'Igal berbaloi apabila penari remaja, Ahmad Mikhail Damsal Abdul Hakim, 14, berjaya merangkul pingat perak dalam pertandingan tarian Dance World Cup (DWC) 2023 di Braga, Portugal pada Ahad lalu.
Ahmad Mikhail berkata, penat lelahnya selama dua bulan berlatih dan mendalami tarian itu untuk dipersembahkan ke pentas dunia akhirnya terbalas apabila berjaya membawa pulang pingat dan sijil untuk Malaysia khususnya Sabah.
Menurutnya, ini kali kedua dia menyertai pertandingan tarian DWC namun tidak menyangka persembahan secara solo Kategori Kebangsaan dan Cerita Rakyat itu berjaya menambat hati juri sekali gus menewaskan 39 peserta daripada negara lain.
"Semasa pertandingan, durasi persembahan mengambil masa selama dua minit. Selain membawa konsep daripada etnik Bajau Suluk, saya juga memakai aksesori dan kostum berkaitan dengan etnik berkenaan.
"Sebenarnya, saya tidak menyangka akan mendapat tempat teratas memandangkan saingan begitu sengit termasuk dari Taiwan yang menjadi juara dan juga Rusia tetapi bagi saya inilah cabarannya.
"Saya ingin mencabar diri sendiri dengan membawa tarian secara solo berbanding pada 2019 dilakukan secara berkumpulan yang turut memenangi pingat emas ketika itu," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebaik tiba dari Kuala Lumpur, pada malam Sabtu.
Ahmad Mikhail menjelaskan, tariannya itu menggambarkan watak Pahlawan Putera Laut yang menari meniru gerakan burung helang laut.
"Saya angkat konsep ini kerana keluarga juga mempunyai darah Bajau Suluk dan saya rasa memang patut untuk bawa tarian ini ke luar negara memandangkan etnik Bajau Suluk selalu diketepikan di peringkat antarabangsa.
"Untuk memberi kesan lebih mendalam mengenai seni tari Mag'Igal, saya selalu membuat kajian tentang budaya Bajau Suluk termasuk dari segi cara kehidupan etnik berkenaan supaya saya lebih menjiwai dan seterusnya di bawa masuk ke dalam tarian saya," katanya.
Sementara itu, ibunya, Normala Othman, 53, berkata, banyak cabaran dilalui mereka termasuk kekangan dana untuk menghantar anak bongsunya itu menyertai pertandingan tersebut.
"Secara keseluruhan kos digunakan mencecah RM40,000 dan anak saya diiringi oleh guru pengiring.
"Sepanjang perjalanan, saya cuba bantu mereka dalam urusan penerbangan dan penginapan secara dalam talian.
"Selebihnya saya hanya berdoa sehinggalah pada hari pertandingan pada 2 Julai lalu, saya sanggup menunggu pertandingan itu berlangsung yang disiarkan secara 'live streaming' kerana waktu kita di sini (Malaysia) ialah jam 2 pagi.
"Tetapi, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, saya bersyukur akhirnya anak saya mampu mengharumkan nama negara, negeri Sabah dan juga sekolahnya," katanya.