Ambil alih perniagaan ayah jual buah berangan

Iklan
Muhammad Rizuan menunjukkan buah berangan yang dijualnya.

SUNGAI PETANI - Rasa lemak manis serta tinggi khasiat antara tarikan menjadikan buah berangan mendapat tempat dalam kalangan peminatnya tersendiri.

Perkara itu diakui pengusaha, Muhammad Rizuan Sabri, 32, yang mengambil keputusan menyambung perniagaan yang diceburi bapanya sejak kira-kira 30 tahun lalu dengan menjual buah berangan.

Iklan
Iklan

Muhammad Rizuan yang mengambil alih tugas bapa lebih 10 tahun lalu berkata, hasil jualan buah tersebut menjadi sumber pendapatan utama keluarga berikutan mendapat sambutan menggalakkan.

Muhammad Rizuan menunjukkan cara manual menyediakan buah berangan yang mempunyai penggemar tersendiri.

"Saya berniaga di beberapa tapak pasar malam sekitar Kedah dan Perlis termasuk tapak ekspo atau karnival," katanya.

Iklan

Muhammad Rizuan ditemui ketika menyertai Karnival Jualan Agro Madani@Mydin Taman Batik di sini yang disertai 22 usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) selama empat hari bermula 6 hingga 9 Julai 2023.

Karnival itu turut dihadiri Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kedah, Zuriana Mad Adam dan Pengarah Eksekutif Mydin Wilayah Utara, Azmin Saduruddin.

Iklan

Jelas Muhammad Rizuan, selain jualan secara langsung, dia turut menggunakan kaedah promosi melalui media sosial sehingga pernah memperoleh hasil jualan mencecah lebih RM12,000 sebulan.

Muhammad Rizuan berkata, dia juga berazam mahu mengembangkan perniagaannya dengan penggunaan teknologi dalam penyediaan di samping mempromosikan kepelbagaian kegunaan buah berangan.

Dalam pada itu, Zuriana berkata, penganjuran empat hari Jualan Agro Madani di Sungai Petani menyasarkan kehadiran pengunjung lebih 20,000 orang serta sasaran jualan sebanyak RM250,000.

"Pelbagai jualan berasaskan pertanian, buah-buahan serta hasil usahawan IKS yang berkualiti dan segar dengan harga sehingga potongan 30 peratus berbanding pasaran disediakan kepada pengunjung.

"Ini adalah kolaborasi dengan pihak pasar raya di mana kita dapat membawa usahawan IKS ke sini dalam masa sama mereka juga mendapat manfaat yang sama," katanya.