PN jangan bermimpi tawan Selangor - Mohd Yahya

Iklan
Mohd Yahya - Foto Bernama

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) diingatkan tidak 'bermimpi di siang hari' dengan kajian dijalankan sebuah badan luar negara kononnya Kerajaan Madani kemungkinan hilang Selangor dan Negeri Sembilan.

Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, PN sepatunya mengambil kira kajian politik tempatan yang lebih mengetahui senario di negara ini.

Iklan
Iklan

"Kenapa hendak menggunakan kajian dibuat badan dari luar negara, sebaliknya mereka boleh menggunakan kajian dibuat universiti atau pihak tidak berkepentingan?

"Adakah PN tidak yakin dan percaya dengan badan kajian tempatan kerana kita di pihak PH berpandangan kajian dipersembahkan oleh pemikir tempatan lebih tepat dari sudut itu berbanding dengan pihak luar negara," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Sebelum ini sebuah portal melaporkan, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendedahkan kajian dibuat sebuah badan luar negara mendedahkan Kerajaan Madani kemungkinan hilang Selangor dan Negeri Sembilan dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

PH juga diramal menghadapi persaingan serta kejutan di Pulau Pinang, manakala PN terus memperkukuhkan cengkaman di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Iklan

Menurut Mohd Yahya, kajian dibuat pemikir tempatan pula meramalkan sebaliknya apabila Kerajaan Perpaduan di Selangor dijangka kekal untuk memerintah dan meneruskan pentadbiran di negeri ini.

"Itu baru satu kajian sahaja, sebaliknya 11 atau 12 kajian tempatan yang dibuat dalam negara menyatakan kita (PH) menang di (PRN) Selangor.

"Bagaimanapun, ini hanyalah kajian semata-mata terhadap kaji selidik dijalankan ke atas beberapa individu atau responden," jelas beliau.

Justeru, katanya, ukuran berdasarkan kajian semata-mata tidak semestinya menggambarkan keseluruhan, sebaliknya paling utama dari segi gerak kerja jentera dan kepercayaan rakyat

"Paling penting apakah rakyat memberi keyakinan kepada pemimpin atau parti politik dalam menentukan kemenangan PRN," katanya.

Beliau menegaskan, tiada sebab rakyat di Selangor menukar Kerajaan Perpaduan yang terbukti telah membangunkan negeri itu pada tahap terbaik.

"PN hendak buat Selangor baharu yang berteraskan macam mana lagi, adakah hendak menggunakan model seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah?

"Saya tidak nampak model itu boleh diterima oleh rakyat Selangor yang jauh ke depan," jelas beliau.