Suntikan PH-BN, mampu tawan Selangor utara

Iklan
Amirudin

GOMBAK - Selangor utara bukan kerusi tradisi mana-mana parti dan semua pihak mempunyai peluang sama rata untuk menawan kawasan tersebut.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Pakatan Harapan (PH) yakin kerjasama bersama BN mampu memperkukuh penguasaan kerusi di kawasan tersebut.

Iklan
Iklan

"Secara asas Selangor utara bukan kerusi tradisi mana-mana pihak, dahulu kawasan ini dimenangi BN, kemudian pada 2018 kita tembusi kawasan ini menerusi bendera PH. Hanya baru-baru ini PN (Perikatan Nasional) dapat kelebihan di sana.

"Saya rasa persaingan masih terbuka kepada semua parti bersaing dan kita yakin suntikan baru kepada BN, kita akan kembali tawan kerusi tersebut di bawah semangat Kerajaan Perpaduan," katanya kepada pemberita mengulas usaha PN mahu menawan Selangor utara menjelang PRN Selangor 12 Ogos ini.

Iklan

Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Madani Afiat, Gotong-royong Mega Perangi Aedes 1.0 & One Hour Malaysia Clean Up Peringkat Kebangsaan 2023 di padang awam Batu Caves, pada Ahad.

Majlis perasmian disempurnakan Amirudin bersama Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Iklan

Dalam pada itu, Amirudin berkata, fokus PN yang terarah menawan Selangor utara menunjukkan parti itu tidak yakin menawan Selangor secara keseluruhan.

"Ini menunjukkan mereka tidak yakin untuk tawan Selangor sebaliknya hanya tumpu kawasan itu untuk jadi pembangkang kuat.

"Bagaimanapun, kita tak pandang rendah semua pihak dan akan bekerja keras. Pelancaran jentera sudah dibuat, semua pihak bekerja keras untuk empat lima minggu ke depan sehingga PRN," katanya.