SHAH ALAM - Penerokaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikat miliknya di United Kingdom (UK), Vantage RE Ltd dalam perniagaan tenaga boleh baharu (TBB) dapat memacu Peralihan Tenaga (ET) Malaysia.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia penting bagi negara untuk berjaya mengemudi ET tersebut dalam mengimbangi isu seperti keterjaminan tenaga, ekuiti tenaga dan kelestarian alam sekitar.
"Dengan itu, Malaysia kekal berdaya tahan dari segi ekonomi dan pada masa sama memanfaatkan peluang untuk pertumbuhan mampan.
"Peralihan itu juga akan memberi manfaat kepada negara melalui pemindahan teknologi dan peningkatan kecekapan modal insan.
"Bagi perniagaan TBB TNB di UK, pengetahuan dan kepakaran yang akan dimanfaatkan juga adalah tidak ternilai untuk TNB dan Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan ibu pejabat baharu Vantage RE di 20 Eastbourne Terrace dan melawat ladang angin luar pesisir Vantage RE di luar pesisir pantai Blyth, Pantai Timur Laut England.
Susulan itu, Nik Nazmi berharap Vantage RE akan terus berkembang dan mencapai kemajuan lebih besar pada masa akan datang menerusi idea dan kepakaran mereka agar dapat mencapai matlamat Peralihan Tenaga yang diimpikan.
Tambahnya, kerajaan kini sedang meneroka pasaran import dan eksport tenaga dan berhasrat agar Malaysia memainkan peranan penting dalam Grid Tenaga ASEAN.
"Saya yakin bahawa pengalaman UK menjadi panduan penting untuk Malaysia dalam usaha kita meneruskan visi ini," ujarnya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Indera Ir Baharin Din berkata, Vantage RE ialah komponen penting dalam perjalanan Peralihan Tenaga Bertanggungjawab TNB.
Jelasnya, pengalaman besar yang diperoleh di UK telah meletakkan syarikat mereka dalam kedudukan yang unik untuk memanfaatkan lebih banyak peluang.
"Selaras dengan aspirasi kami sebagai pembekal utama tenaga lestari di Malaysia dan antarabangsa, kami akan terus membuat pelaburan besar dalam bidang ini.
"Usaha seberang laut ini akan mempercepatkan pertumbuhan TBB dan membina keupayaan TNB di pasaran asing.
"Selain itu, membolehkan kami lebih memahami bagaimana Malaysia boleh mewujudkan rangka kerja yang betul iaitu dalam memberi insentif kepada penggunaan teknologi utama seperti Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), hidrogen serta Perangkap Karbon, Penggunaan dan Penyimpanan (CCUS) yang akan menyokong Peralihan Tenaga," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, TNB komited terhadap agenda Peralihan Tenaga tersebut bagi mengurangkan 35 peratus daripada intensiti pelepasan karbon serta 50 peratus daripada kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Vantage RE, Vian Davys, pihak mereka juga berusaha untuk meningkatkan kapasiti TBB dan membangunkan keupayaan TNB untuk menghadapi cabaran masa depan.
"Selain portfolio semasa 530 Megawatt (MW) dan 102 MW dalam pembangunan, kami merancang untuk meneroka pasaran dan teknologi baharu yang menawarkan peluang pertumbuhan menggalakkan sekali gus mengembangkan jejak secara strategik dalam bidang ini," tambahnya.