JOHOR BAHRU - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dua pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap Sultan Johor dan keluarga Diraja Johor, di akaun Twitternya dua tahun lalu.
Tertuduh, Reymi Abdul Rahim, 43, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim VM Mabel Sheela.
Berdasarkan kepada kedua-dua pertuduhan berkenaan, dia secara sedar menerusi hantaran di akaun Twitternya telah membuat hantaran jelik terhadap Sultan Johor dan keluarga Diraja Johor dengan niat menyakiti orang lain.
Kedua-dua hantaran itu dibacakan pengadu sekitar 12 tengah hari pada 8 Oktober 2021 lalu di sebuah pejabat di Kota Southkey Johor Bahru.
Reymi dituduh mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan denda sebanyak RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Thiviya manakala tertuduh diwakili peguam, Jihad Syahida Nadia Zakaria dan Nurhazneena Zureen Mohamad Hanafiah.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, pihak peguambela memohon jaminan dikurangkan kerana tertuduh tidak bekerja selain mengalami sakit jantung.
Hakim kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM4,500 untuk dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Selain itu, tertuduh juga perlu melapor diri semi sebulan di balai polis berhampiran selain pasport ditahan.
Sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 21 Ogos depan.