KUALA LUMPUR - Keseronokan mahu menunjuk dengan melakukan aksi 'Superman' ketika berkonvoi di ibu negara mengundang padah apabila dicekup polis, pada Ahad.
Remaja lelaki berusia 17 tahun dan masih bersekolah di Tingkatan Lima itu antara lapan penunggang motosikal yang ditahan kira-kira jam 3 pagi menerusi Op Samseng Jalanan kerana melakukan aksi berbahaya.
Ketika ditemui Sinar Harian, remaja itu mendakwa dia dalam perjalanan pulang ke rumah di Sentul selepas makan di Kampung Baru, Kuala Lumpur bersama kira-kira 10 rakannya.
"Saya keluar rumah di Sentul dalam jam 1 pagi untuk jalan-jalan dan keluar makan sebelum terus pulang.
"Semasa pulang itu baru kami ramai-ramai cuba buat 'fly' (Superman). Cuma suka-suka sahaja bang," katanya ketika ditemui selepas ditahan di sekitar ibu negara pada Ahad.
Tambah remaja itu, dia menyesal dengan perbuatannya dan akui bimbang akan dimarahi ibunya.
"Tolong bang. Saya nak balik asrama esok. Ibu tak tahu saya keluar, hanya beritahu abang tadi," katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi samseng jalanan membabitkan pegawai dan anggota JSPT Kuala Lumpur telah dilaksanakan di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).
"Lapan penunggang berusia 17 hingga 21 tahun ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.
Dalam pada itu, Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya yang dijalankan JSPT Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula jam 11 malam, Sabtu bertindak menyita 10 motosikal dan satu kereta.
"Daripada jumlah itu, tiga kereta dan satu motosikal ialah kenderaan diguna warga asing.
"Polis turut mengeluarkan 153 saman atas pelbagai kesalahan, manakala JAS (5 notis) dan JPJ (104 notis)," jelasnya.