Platform digital PKS kebangsaan

Iklan
Dari kiri: Moharmustaqeem, Aria Putera dan Ganesh Kumar pada majlis menandatangani MoU dengan TM dan Commerce.Asia, di Kuala Lumpur pada Selasa.
SME Bank berhasrat mewujudkan platform digital PKS kebangsaan dalam menyediakan akses pembiayaan kepada usahawan perusahaan mikro dan kecil.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, platform digital PKS kebangsaan adalah penyelesaian untuk SME Bank menjadi peneraju dalam ekosistem perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berteraskan gelombang Revolusi Industri 4.0.

"Platform ini akan memberikan kami keupayaan untuk membuat keputusan berasaskan data dan pengurusan portfolio yang lebih baik.

"Dengan platform digital PKS kebangsaan ini, ia akan mengubah cara PKS dibantu dan dibangungkan. Inisiatif ini dijangka akan memacu sumbangan PKS terhadap ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Commerce.Asia, di Kuala Lumpur, pada Selasa.

Hadir sama, Pemangku Naib Presiden Eksekutif,Unifi, Moharmustaqeem Mohammed dan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Commerce DotAsia Ventures, B Ganesh Kumar.

Kerjasama dengan TM akan membolehkan SME Bank mendapat akses kepada infrastruktur serta perkhidmatan digital TM seperti internet berkelajuan tinggi, pusat data dan pengkomputeran awan.

TM juga akan menyumbangkan tenaga pakarnya seperti saintis data dan arkitek program untuk membimbing usahawan PKS dalam transformasi digital mereka.

Selain itu, TM turut menawarkan pakej komunikasi lengkap bagi membolehkan usahawan mendapatkan sambungan internet berkelajuan tinggi dan meneroka pasaran lebih besar dan luas.

Kolaborasi bersama Commerce.Asia pula akan meningkatkan keupayaan Platform Digital PKS Kebangsaan melalui akses kepada lebih 700,000 pangkalan data usahawan PKS di Malaysia di samping akses kepada ekosistem teknologi e-dagang yang lengkap.

"Ini akan melengkapkan fasa pertama pembinaan Platform Digital PKS Kebangsaan yang mana, Kepintaran Buatan akan digunakan untuk menganalisis prestasi dan kesediaan PKS serta merangka pelan tindakan yang dapat menyokong pertumbuhan PKS.

"Dengan ketidakpastian dalam sektor PKS, adalah penting bagi SME Bank memaksimumkan penggunaan sumber dan data digital untuk menghasilkan keputusan yang dinamik dalam memupuk PKS yang berdaya tahan,” katanya.