ENGLAND menewaskan Sepanyol 1-0 dalam perlawanan akhir Kejohanan Eropah bawah 21 tahun (B-21) untuk menjulang trofi buat kali pertama dalam tempoh 39 tahun hasil jaringan Curtis Jones.
Skuad kendalian Lee Carsley itu mengharungi kempen Euro tersebut dengan cemerlang tanpa melepaskan sebarang gol dan turut memastikan Sepanyol gagal menambah koleksi kejuaraan untuk kali keenam.
Iklan
Iklan
Gol tunggal England hadir apabila bola terkena Jones daripada sepakan percuma Cole Palmer pada masa kecederaan separuh masa pertama dan melencong masuk ke penjuru gol Sepanyol.
"Kami telah banyak bercakap mengenainya, dan kami merasakan sudah tiba masanya untuk melakukannya.
"Semua pemain menyokong satu sama lain apabila mereka tidak bermain. Itu sesuatu yang kami banggakan," kata kapten England, Taylor Harwood-Bellis kepada UEFA.com.
Dalam perlawanan akhir dramatik di Batumi, kapten Sepanyol, Abel Ruiz berpeluang menyamakan kedudukan apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-99, namun berjaya diselamatkan oleh penjaga gol England, James Trafford.
"Saya memberitahu semua orang pagi ini saya akan menyelamatkan penalti dan ia berlaku. Kami pasukan yang bagus dan percaya tiada siapa yang akan menjaringkan gol menentang kami," kata Trafford kepada Channel 4.