SHAH ALAM - Kerajaan digesa memperbaharui prosedur dalam mendapatkan lesen memandu kerana tatacara sedia ada menekan golongan bawahan dengan kadar bayaran yang tinggi.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, kadar bayaran yang dikenakan oleh institusi memandu adalah tinggi dan tidak setimpal dengan perkhidmatan.
Menurutnya, kerajaan sepatutnya membuat pemantauan dan pemeriksaan berkala bagi menjamin perkhidmatan berkualiti.
"Anggaran bayaran yang dikenakan untuk mengambil lesen kelas D adalah di antara RM1,200 hingga RM2,300. Ia merupakan jumlah yang agak tinggi dan membebankan kumpulan berpendapatan rendah (B40).
"Institusi memandu mengaut keuntungan dan tidak mengambil kira tanggungjawab sosial yang perlu diberikan kepada rakyat terutama golongan bawahan,” katanya.
Pada masa sama, Kamarul Baharin berkata, kejanggalan prosedur di institusi berkenaan adalah membabitkan pelajar disahkan rabun warna terpaksa mengambil ujian komputer dengan soalan-soalan berkaitan rona.
Ujarnya, jika pelajar tersebut gagal maka Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memberikan ujian komputer khas yang mana bayaran akan dikenakan.
Jelasnya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku jika pelajar berkenaan mempunyai pengesahan doktor bagi membolehkan pengecualian bayaran.
"Bayaran kali kedua bagi ujian komputer khas merupakan beban kepada golongan B40 dan pembaziran sumber manusia.
"Bukan itu sahaja, bayaran untuk pembatalan ujian memandu bersama JPJ dengan kadar RM100 adalah tidak munasabah,” ujarnya.
Kata Kamarul Baharin lagi, pembayaran berganda atas sudah melakukan tempahan bersama JPJ adalah karut dan institusi memandu mencari keuntungan dengan cara yang salah.
Sehubungan itu, beliau berpendapat bahawa penilaian terhadap institusi memandu perlu dilakukan oleh pelajar untuk penambahbaikan mutu perkhidmatan.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar semua perkara berkaitan perkhidmatan JPJ seperti ujian komputer dan memandu boleh dilakukan secara terus atau atas talian.
"JPJ wajib membangunkan sistem yang membantu rakyat dengan mengurangkan keterlibatan institusi memandu.
"Mereka (institusi memandu) hanya perlu fokus dengan latihan dan segala pentadbiran dibuat sendiri oleh pelajar. Kaedah ini akan dapat mengurangkan birokrasi dan mengurangkan kos mendapatkan lesen,” katanya.