Liputan 4G di Selangor capai 99.87 peratus suku pertama 2023

Iklan
Fahmi (dua dari kanan) melawat bilik pameran pada Majlis Hari Bersama Komuniti Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di Kampung Kanchong Darat, Banting, pada Ahad. - Foto Bernama

BANTING - Liputan jalur lebar mudah alih 4G di Selangor kini mencapai 99.87 peratus di kawasan berpenduduk dengan purata kelajuan mudah alih mencecah 55.96 Mbps (megabit sesaat) setakat suku pertama tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, liputan jalur lebar menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa satu juga menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan dengan 17 menara komunikasi baharu dirancang siap didirikan menjelang akhir tahun ini.

Iklan
Iklan

"(Daripada jumlah itu) 11 daripadanya telah siap dan dalam tindakan pihak penyedia telekomunikasi untuk pemasangan peralatan komunikasi. Namun saya telah menerima maklumat pagi tadi daripada 11 menara itu, lapan lagi belum ‘on air’.

"Saya akan melawat satu daripada lapan (menara) ini dalam jangka masa terdekat. Kalau saya dapati tidak ada perancangan segera untuk mengaktifkan menara ini maka bersedialah. Jadi saya minta disegerakan,” katanya.

Iklan

Fahmi berkata demikian ketika berucap pada majlis Hari Bersama Komuniti Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di PEDi Kanchong Darat, di sini pada Ahad.

Pada masa sama, beliau berkata, sehingga kini sebanyak 8,457 stesen pemancar telah siap dinaik taraf kepada rangkaian 4G manakala hanya 19 stesen lagi masih dalam peringkat pelaksanaan.

Iklan

Fahmi juga berkata beliau akan berbincang dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk melipat ganda usaha mereka mempromosikan Pakej Perpaduan prabayar dan jalur lebar yang diumumkan kementerian sebelum ini khususnya di kedai yang menyediakan perkhidmatan tersebut.

"Februari lalu kerajaan telah mengumumkan Pakej Perpaduan prabayar dan pada Mac kami umumkan Pakej Perpaduan untuk jalur lebar. Kalau tuan puan tidak tahu, maklum pada saya, saya akan 'call' semua CEO (ketua pegawai eksekutif) telco kenapa tidak uar-uarkan manfaat kepada rakyat (untuk dapat Internet yang murah)," katanya.

Kementerian Komunikasi dan Digital sebelum ini telah memperkenalkan Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih atau dikenali sebagai Pakej Perpaduan bernilai RM30.

Dalam pada itu, katanya sebanyak 28 kemudahan gentian optik 'Point of Presence' atau titik kehadiran (PoP) telah disiapkan dan sedia untuk dilanggan oleh sekurang-kurangnya 2,912 premis bagi memperluas jaringan liputan infrastruktur jalur lebar.

Menurut Fahmi, 226 inisiatif PoP dirancang untuk dibangunkan di negeri itu melibatkan 52 PoP untuk fasa pertama dan 174 PoP dilaksanakan dalam fasa kedua.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, menerusi Program Saya Digital yang dilaksanakan dalam tempoh dua tahun lepas, ia telah memberi manfaat kepada kira-kira 16,081 orang peserta seluruh negara dengan 3,195 daripadanya adalah rakyat Selangor.

Katanya, program tersebut telah bergerak secara fizikal di hampir 40 lokasi seluruh negara dengan lima di Selangor bertujuan mewujudkan kesedaran dalam kalangan rakyat untuk menerima guna teknologi khususnya bagi golongan B40, warga emas dan pelajar dalam meningkatkan kemahiran digital mereka. - Bernama