SEREMBAN - Langkah kerajaan dalam menstruktur semula pinjaman Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) memberi kelegaan kepada peneroka sekali gus membaiki aliran tunai agensi tersebut.
Ketua Peneroka Felda Negeri Sembilan, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, selain pelupusan hutang peneroka sebanyak 80 peratus, langkah itu mampu memberi peluang kepada peneroka untuk memperoleh lebih banyak manfaat daripada Felda.
"Apabila Felda dapat dana RM1 billion setahun bermakna pendapatan Felda mudahlah untuk diagihkan kembali kepada peneroka dalam bentuk kemudahan seperti keceriaan kampung, infrastruktur, kebajikan dan banyak lagi.
"Selain itu, ia juga dapat menjamin kepada kestabilan pendapatan Felda termasuk aliran tunai terhadap pihak terlibat," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Dalam pada itu, peneroka lain juga turut menerima positif usaha kerajaan dalam melestarikan nasib peneroka Felda.
Peneroka Felda Palong 9, Othman Parman, 67 berkata, langkah itu sudah lama dinantikan oleh peneroka malah ia tertanya memberi nafas baru kepada Felda.
"Memang saya menyokong itu yang terbaik sebab saya rasa lama juga dinantikan peneroka, jadi dengan ini saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan," katanya.
Perkara itu diakui oleh peneroka Mohamad Darus, 64 yang turut teruja apabila hutangnya kira-kira RM170,000 dihapuskan 80 peratus bermakna bakinya sekitar RM20,000- RM30,000 sahaja.
"Bayaran kembali sebelum ini dari lebih kurang RM700 kembali ke bawah RM200," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan mengumumkan akan menyalurkan sehingga RM1 bilion setahun untuk tempoh 10 tahun kepada Felda melalui terbitan sukuk bagi memastikan kelangsungan agensi tersebut.
Kabinet juga sebelum ini meluluskan cadangan terbitan sukuk bernilai RM9.9 bilion oleh Felda dengan jaminan kerajaan bagi membolehkan agensi itu melaksanakan pelan pemulihan, seperti dibentangkan Pasukan Petugas Khas melalui laporan pada Oktober 2020. ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan lulus jaminan RM9.9 bilion bantu lupus hutang peneroka Felda