KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Pengerusi dan pengasas bersama AirAsia Bhd, Datuk Pahamin A Rajab yang meninggal dunia akibat serangan jantung di London, United Kingdom, malam tadi.
Fahmi menerusi catatan di Facebook pada Ahad mendoakan semoga keluarga Allahyarham tabah menghadapi ujian itu.
"Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” menurut catatan itu.
Berita pemergian Pahamin dikongsikan menantunya yang juga pelakon, Azhar Sulaiman menerusi hantaran video di Instagram, awal pagi ini.
Pahamin, 77, pernah menyandang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bermula 1998 hingga 2001 dan sebelum itu adalah Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1974 hingga 1998. - Bernama