KPKT peruntuk hampir 1 juta baiki rumah daif di Pahang

Iklan
Akmal Nasrullah menyerahkan bantuan khas kepada salah seorang usahawan pada Majlis Perasmian Penutup Program PEKB 2023 di Teja Skill pada Ahad.

KUANTAN - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan hampir RM1 juta untuk membaik pulih 63 rumah daif di Pahang melalui Program Baik Pulih Rumah di Bandar tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, peruntukan RM15,000 diluluskan untuk kos baik pulih bagi setiap rumah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peruntukan disediakan itu sebahagian daripada RM40 juta yang diluluskan seluruh negara dengan sasaran 2,543 rumah rumah daif di bandar akan dibaik pulih tahun ini.

"Kerajaan juga telah bersetuju untuk meningkatkan bantuan itu kepada RM20,000 bagi setiap rumah tahun hadapan.

Iklan

"Pemilihan rumah daif dalam kawasan bandar untuk bantuan ini berdasarkan beberapa kriteria termasuk ketua isi rumah (KIR) dalam golongan B40 dan rumah atas tanah hak milik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) 2023 di Teja Skill di sini pada Ahad.

Iklan

Turut hadir, Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri, Sim Chon Siang dan Timbalan Ketua Setiusaha KPKT, Suhaimi Ali@Ahmad.

Akmal Nasrullah berkata, selain bantuan baik pulih, turut diluluskan pembinaan tiga rumah baharu di negeri ini melalui peruntukan RM2 juta yang diluluskan seluruh negara bagi tujuan tersebut.

Sementara itu katanya, kerajaan melalui KPKT memperuntukkan RM10 juta bagi pelaksanaan Program PEKB tahun ini.

"Seramai 835 peserta akan dipilih dan dilatih bagi mengikuti PEKB di seluruh negara.

"Program PEKB ini merupakan usaha KPKT dalam membantu menjana pendapatan rakyat terpilih di bandar untuk menyara kehidupan keluarga dan seterusnya keluar dari garis kemiskinan.

"Melalui program ini, peserta akan diberikan latihan keusahawanan bertujuan untuk meningkatkan kemahiran mereka supaya mampu mengusahakan perniagaan yang boleh memberikan pendapatan yang lebih baik," katanya.

Tambah beliau, peserta dipilih bukannya melalui permohonan sebaliknya melalui proses pencarian dan bancian dilakukan badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik KPKT mengikut kriteria yang ditetapkan.

"Selain diberikan latihan kemahiran bersesuaian, peserta turut diberikan elaun kursus dan bantuan alatan perniagaan," katanya.

Pada Program PEKB 2023 itu, seramai 54 dari Kuantan dan Terengganu terlibat di bawah dua NGO, Wanita Inspirasi Kuantan (WINK) dan Yayasan Bestari Malaysia.