GEORGE TOWN - Kerajaan sedia membantu pengusaha udang yang mengeluh kerana harga jualannya turun lebih 40 peratus sejak dua bulan lepas berikutan peningkatan kemasukan udang import.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan membantu para pengusaha terlibat dari segi pemasaran udang yang diternak mereka.
"Yang penting sekali untuk pengusaha ternakan udang tempatan ini ialah melihat kepada macam mana mereka memajukan daya saing mereka dan saya rasa isu ini lebih kepada soal mekanisme jualan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Penang FAMA Fest 2023, di Kompleks Bukit Jambul dekat sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan oleh Pengerusi Persatuan Industri Udang Malaysia, Syed Omar Syed Jafaar berhubung lebih 3,000 syarikat pengusaha udang termasuk di Sabah dan Sarawak terpaksa menanggung kerugian apabila harga jualan udang kurang daripada kos operasi.
Menurut Syed Omar, masalah itu disebabkan kemasukan ketara udang import khususnya dari Thailand dan Indonesia yang menjadikan bekalan melebihi permintaan serta pihaknya berharap kerajaan dapat membantu memperkasa industri akuakultur udang ini dengan mengetatkan sistem biosekuriti pengimport udang.
Bagaimanapun, Foong Hin berkata, lambakan udang itu dapat memberikan kelebihan kepada pengguna kerana mereka dapat menikmati udang pada harga yang berpatutan.
Beliau berkata, kerajaan juga tidak pernah mengamalkan sebarang dasar yang menghalang kemasukan bekalan makanan import termasuk udang ke negara ini kerana mengamalkan dasar perdagangan bebas dari segi pembekalan makanan.
''Isu ini kita kena lihat dalam dua sudut, iaitu pengusaha tempatan yang sukar bersaing dengan pengimport, tetapi pada masa sama rakyat dapat menikmati udang pada harga berpatutan,'' katanya. - Bernama