Haram jatuhkan pemimpin jalan amanah dengan baik - Mufti

Iklan
Wan Salim

GEORGETOWN - Seorang pemimpin yang terbukti telah menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan secara baik adalah haram untuk dia dijatuhkan.

Pandangan itu diutarakan oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dengan merujuk kepada sebuah hadis sahih.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mengikut hadis tersebut, apabila seseorang menjadi pemimpin ke atas orang-orang beriman sedangkan (terdapat) dalam kalangan mereka orang yang lebih baik daripadanya, maka dia telah mengkhianati ALLAH SWT, Rasul dan orang-orang beriman.

"Dari segi kerelaan umat Islam, ia adalah penegakan syariat bukan dengan percakapan tetapi dengan tindakan seperti melaksanakan keadilan, kebajikan untuk rakyat, membasmi kemiskinan, memerangi kefasadan, kemungkaran termasuk rasuah dan sebagainya," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Iklan

Wan Salim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai satu klip video yang memaparkan ahli politik yang meminta untuk rakyat menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Dalam klip video berkenaan, pemimpin tersebut menyebut hukum wajib untuk rakyat menjatuhkan kerajaan yang sedang memerintah ketika ini.

Iklan

Wan Salim turut menegaskan bahawa beliau tidak menyebelahi mana-mana parti politik sebaliknya menyatakan kebenaran berdasarkan ilmu yang dimilikinya.

Dalam pada itu, Wan Salim berkata, agama boleh digunakan dalam politik tetapi untuk tujuan membina seperti usaha meratakan keadilan dan kebajikan dalam masyarakat dan menghormati Perlembagaan Negara.

Katanya, selain itu, agama juga boleh digunakan untuk mengukuhkan lagi sistem demokrasi yang bukan sekadar mengundi di dalam pilihan raya tetapi pada prinsip asasnya adalah pengiktirafan hak-hak setiap warganegara termasuk golongan minoriti.

"Agama Islam adalah satu misi Ilahi yang menyeru kepada perpaduan dan persaudaraan sejagat merentasi sempadan kaum, agama dan budaya.

"Oleh itu, Islam menentang setiap seruan dan usaha yang boleh membawa kepada kebencian, perbalahan dan permusuhan, bukan sahaja antara sesama umat Islam malah antara warganegara yang berbeza etnik, agama dan budaya," katanya.

Beliau menambah, sebagai satu misi kehidupan yang sempurna sememangnya agama Islam tidak boleh dipisahkan daripada politik.

"Sebab itu kita dapati banyak karya klasik atau kontemporari yang mengupas kaedah-kaedah pemerintahan dalam Islam seperti karya yang dihadilkan oleh Al-Mawardi, Al-Ghazali, Ibnu Taimiah, Al-Maududi dan lain-lain lagi.

"Memang Islam boleh berperanan dalam membimbing kehidupan berpolitik yang positif ke arah pembangunan dan kemajuan negara untuk kebajikan dan kepentingan seluruh warganya.

"Namun masalah yang dihadapi adalah agama Islam sering dijadikan bahan permainan politik kepartian oleh golongan tertentu sehingga menimbulkan kebencian, permusuhan dan perbalahan antara masyarakat termasuk sesama Islam," katanya.

Menurut beliau, perkara ini termasuk dalam kategori 'asabiyyah' yang dilarang oleh Islam dan yang ingin dihapuskan sejak zaman awal sejarahnya lagi.

"Islam sentiasa menyeru kepada persaudaraan dan berkasih sayang antara sesama umat Islam serta sesama warganegara yang berbeza kaum dan agama.

"Inilah intisari yang terkandung di dalam piagam negara Madinah yang diasaskan oleh Rasulullah SAW," katanya.