ALOR SETAR - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) diharap dapat memahami kekangan kewangan kerajaan ketika mengemukakan beberapa tuntutan termasuklah kenaikan gaji minimum untuk penjawat awam.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memberi bayangan tuntutan tersebut tidak boleh dipenuhi segera namun memberi jaminan kenaikan itu akan dilakukan secara berperingkat bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan.
Menurut Rafizi, kerajaan memahami tindakan Cuepacs berbuat demikian adalah bagi memberi keselesaan dan meringankan kos sara hidup golongan tersebut.
Katanya, mana-mana pihak sama ada sektor swasta atau sektor awam, mereka mempunyai hak untuk membuat tuntutan kenaikan gaji masing-masing setiap tahun.
"Saya pasti Cuepacs sedia maklum bahawa kerajaan ada kekangan. Cuma kerajaan Persekutuan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) sekarang nak tumpu begini, (jadi) kita tidak bolehlah untuk tunai semua serta-merta,” katanya.
Beliau berkata sedemikian pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Royal Kedah Club, di sini pada Ahad.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Beliau menegaskan, kerajaan tidak pernah memandang remeh tuntutan dikemukakan Cuepacs yang sejajar dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini.
Rafizi memberi jaminan, kerajaan sentiasa mengutamakan tuntutan dikemukakan Cuepacs termasuklah kenaikan gaji minimum dan imbuhan, yang mana ia dibincangkan dari masa ke masa.
"Cuma saya harap Cuepacs dapat terus berbincang mengenai gaji progresif ini, tetapi ia tidak boleh berlaku secara tiba-tiba.
"Saya yakin kerajaan ada kerangka sasaran kenaikan gaji dari setahun ke satu tahun agar berlaku secara sistematik, itu yang cuba kami lakukan. Kita perlu lihat dalam masa lima, 10 tahun macam mana kesan kewangan, berapa gaji perlu naik, sebab itu kita kena laksana secara berperingkat dasar sistem gaji progresif ini,"katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, kerajaan akan berusaha mencari kemampuan terbaik setiap tahun bagi memastikan kenaikan gaji secara tersusun untuk golongan berkenaan.
"Jika tidak ada model gaji progresif ini memang dia serah buta-buta kepada majikan (dan) memang tak naik sampai bila-bila macam itulah.
"Jadi itulah yang kami cuba nak buat dan saya faham dalam kerajaan pun ada kebimbangan yang besar, ini boleh buat ke ini? Apa kesannya kepada kewangan kerajaan?," katanya.
Beliau berpandangan, kerajaan perlu berbuat sesuatu berhubung isu gaji tersebut dan itulah yang sedangkan diusahakan ketika ini
Sabtu lalu, Sinar Harian melaporkan Cuepacs berharap Jemaah Menteri dapat memberikan kelulusan segera cadangan untuk memulakan pasukan yang akan mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam.
Ia termasuk cadangan kenaikan gaji minimum RM1,800 dengan kenaikan gaji tahunan,pelaksanaan elaun kerajaan elaun bandar raya sebanyak RM500 dan menambah imbuhan tetap perumahan kepada RM450 berbanding RM300 ketika ini.
Tuntutan Cuepacs itu susulan jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat bahawa kerajaan akan mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam di seluruh negara, dengan perbincangan mengenainya dibawa ke dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu ini berikutan kali terakhir ia disemak adalah pada tahun 2013.