Internet kampus: MCMC adakan libat urus dengan universiti

Iklan
Fahmi Fadzil menunjukkan bacaan kelajuan internet pada telefon bimbitnya kepada pelajar (dari kanan) Muhammad Syafiq Akmal Mahadi dan Nur Amani Izzati Kamarul Azhar semasa meninjau keadaan internet di UiTM Kampus Dengkil pada Ahad. - Foto Bernama

DENGKIL - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan mengadakan sesi libat urus dengan semua bahagian pembangunan universiti dalam masa terdekat bagi mengetahui keadaan internet di kampus masing-masing.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, beliau telah meminta MCMC serta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Datuk Mohamad Fauzi Md Isa untuk menyertai sesi libat urus itu dalam usaha memantapkan kesalinghubungan di kampus.

Iklan
Iklan

"Diadakan secepat mungkin. Saya serah kepada MCMC untuk jemput wakil bahagian pembangunan institut pengajian tinggi awam (IPTA) supaya diadakan sesi tersebut,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan Internet di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor kampus Dengkil pada Ahad.

Mengenai tinjauan keadaan internet di UiTM itu, beliau berkata, kaedah pengurusan internet di universiti itu adalah baik dan boleh dijadikan rujukan untuk semua universiti.

Iklan

Katanya, UiTM tersebut telah memperuntukkan RM3.38 juta untuk meningkatkan jumlah akses point dari 100 ke 200 unit manakala setiap dua bilik asrama dilengkapi dengan satu wi-fi router.

Secara umumnya, Fahmi berkata, aspek pengurusan internet di dalam kampus adalah di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) manakala KKD melibatkan ‘liputan luar’ iaitu pencawang.

Iklan

Beliau turut meminta MCMC melaksanakan tindakan berkaitan pencawang di sekitar universiti supaya ia mampu memberi liputan Internet menyeluruh di kawasan kampus.

"Insya-ALLAH, kita (KKD dan KPT) akan bekerjasama dan saya telah berbincang dengan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"MCMC akan beri kerjasama penuh atasi masalah ini (Internet di kampus),” katanya.

Pada Sabtu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Program Temu Anwar di Universiti Utara Malaysia, Sintok di Kedah dilaporkan meminta Fahmi memberi keutamaan berkaitan kesalinghubungan internet yang lebih baik di kampus universiti seluruh negara.

Anwar berkata, kemudahan internet di kampus universiti merupakan satu keperluan asas dan menjadi elemen penting yang harus disediakan seperti buku teks. - Bernama