Peluang pendidikan: KPM jamin tak pinggir mana-mana kaum

Iklan
Fadhlina (tiga dari kanan) menyantuni para pelajar dan guru di reruai pameran ketika hadir pada Perasmian Penutup Pertandingan Inovasi dan Robotik Peringkat Kebangsaan 2023 (INORO'23) di Dewan Kolej Vokasional pada Ahad. - Foto Bernama

KULIM - Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan tidak ada mana-mana kaum yang dipinggirkan daripada peluang pendidikan di negara ini dan akan sentiasa berusaha menambah baik sistem sedia ada.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, walaupun kerajaan berpendirian mengekalkan sistem kuota Melayu dan bumiputera, peluang dalam pendidikan juga harus diberikan kepada pelajar daripada kaum lain.

Iklan
Iklan

"Ini penting khususnya bagi Tingkatan Enam yang sedang kita lihat dan peluang lain untuk memastikan semua anak kita mendapat akses pendidikan yang sama. Jadi tiada siapa yang akan dipinggirkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Pertandingan Inovasi dan Robotik peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Pada Sabtu, Perdana Menteri dalam Program Temu Anwar di Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah menjelaskan sistem kuota Melayu dan bumiputera dalam bidang pendidikan perlu dikekalkan bagi mengimbangi jumlah pelajar kaum itu di institusi pengajian tinggi.

Iklan
Sementara itu, Fadhlina berkata, program yang ditawarkan kolej vokasional di bawah KPM mencapai kejayaan yang memberangsangkan apabila kebolehpasaran graduan pada kadar lebih 90 peratus ketika ini.

"Sukacita dimaklumkan bahawa kadar kebolehpasaran graduan kolej vokasional kami (KPM) telah melepasi 90 peratus dan kesemua 606 program diploma yang kami tawarkan mendapat akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia dan Lembaga Teknologis Malaysia.

"Kita perlu hebahkan kepada orang ramai supaya mereka sedar peluang yang ditawarkan di kolej vokasional," katanya.

Iklan