KETUA Jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan pemainnya apabila berjaya menundukkan Selangor FC 1-0 pada saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Makmur pada Ahad.
Beliau mengakui tempoh rehat yang agak panjang memberi peluang kepadanya untuk mempersiapkan pasukan sebelum berhadapan dengan Red Giants.
Menurutnya, semua taktik yang dirancang membuahkan hasil dalam perlawanan ini ditambah dengan semangat pemain yang bersungguh-sungguh terutama pada separuh babak pertama dan sepanjang babak kedua.
"Pemain bermain dengan baik sepanjang 25 minit babak pertama dan selepas itu saya mula risau apabila corak permainan kita berubah hingga membuka peluang kepada pemain lawan menguasai perlawanan dan mendapat beberapa peluang.
"Bagaimanapun Selangor gagal menghasilkan sebarang gol dan kita berjaya bangkit pada babak kedua dengan aksi lebih mantap sehingga berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-50," katanya.
Sementara itu katanya, pemain import baharu, Ruziev Kovendik dari Uzbekistan dan Rafael Silva dari Brazil diturunkan pada perlawanan itu untuk membantu pasukan.
"Prestasi Ruziev Kovendik agak baik dan banyak membantu dalam perlawanan ini walaupun baharu menyertai pasukan.
"Rafael Silva pula nampak masih mencari rentak sebab itu kita letak dia di kerusi simpanan dan hanya diturunkan pada penghujung perlawanan," katanya.
Sementara itu, pengendali Red Giants, Tan Cheng Hoe berkata, sebagai jurulatih beliau masih yakin dengan kemampuan pemain walaupun tewas kepada Pahang pada saingan itu.
Menurutnya, pemain perlu bangkit dan tingkatkan mutu permainan pada pada perlawanan akan datang.
"Separuh masa pertama kita bermain dengan baik hingga berjaya mendominasi perlawanan dan banyak cipta peluang tapi gagal dimanfaatkan.
"Babak kedua, pemain sedikit hilang fokus hingga membuka peluang kepada Pahang mengatur dan melakukan serangan," jelasnya.
Beliau bagaimanapun berpandangan, situasi itu lumrah jika berdepan pasukan sama kuat seperti Pahang.
"Pemain perlu ambil peluang untuk menang atau dihukum bila lakukan kesilapan.
"Paling penting pemain kena segera bangit untuk hadapi pusingan kedua dengan cabaran lebih besar," ujarnya.