SHAH ALAM - Ketua Penerangan PKR yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Fahmi Fadzil mempertikai beberapa laporan media tempatan pada Ahad yang menyatakan harga barangan pengguna dijangka meningkat bermula Ogos ini.
Menteri Komunikasi dan Digital itu berkata, ini kerana kadar inflasi negara setakat ini menunjukkan trend penurunan selain beberapa petunjuk ekonomi pada 2023 adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Utama dan Jentera Pilihan Raya PKR bagi Dewan Undangan Negeri Batu Tiga dekat sini pada malam Ahad.
Fahmi sebaliknya menjelaskan bahawa hasil usaha dan ikhtiar Kerajaan Perpaduan telah berjaya menurunkan kadar inflasi yang dikaitkan dengan kenaikan harga barang daripada 3.3 peratus pada April kepada 2.8 peratus pada Mei.
"Kedua, suku pertama tahun ini menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang sangat rancak iaitu 5.6 peratus dan kadar ini adalah lebih rancak dari China, Singapura dan Indonesia,” katanya.
Fahmi berkata, dalam tempoh tiga bulan pertama 2023 juga, jumlah pelaburan yang masuk ke dalam negara dianggarkan berjumlah kira-kira RM71 bilion iaitu lebih tinggi berbanding RM44 bilion yang dicatat bagi tempoh sama pada tahun lepas kerana didorong oleh kestabilan politik.
Beliau berkata, jumlah pelaburan asing juga dijangka terus meningkat pada masa akan datang termasuk melibatkan pelaburan besar dari kerajaan Arab Saudi.
Justeru, katanya, jentera PH dan Barisan Nasional harus bekerja keras untuk menyampaikan kepada rakyat apa yang telah diusahakan serta dicapai oleh kerajaan hari ini dalam membangunkan ekonomi negara. - Bernama