TEMERLOH - Bermula dengan niat untuk membantu golongan suri rumah yang ingin menambah pendapatan, Gobok Kuih kini menjadi pusat sehenti dan syurga buat peminat kuih-muih tradisional serta moden dan pelbagai menu tular di sini.
Terletak di Jalan Temerloh-Maran di Paya Pulai, pengusahanya, Shahida Mohamed Zabri, 39, banyak membantu vendor antaranya ibu tunggal serta mereka yang bertekad membantu ekonomi keluarga menambahkan pendapatan menerusi Gobok Kuih yang dibuka setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 6 petang sejak November tahun lalu.
Menurutnya, hingga kini hampir 200 menu antaranya makanan Barat, Korea, Thailand serta tempatan yang sedia untuk dimakan ditawarkan di premis tersebut.
"Pada mulanya saya tiada niat nak buka tapi apabila ditawarkan tempat di sini, saya rasa apa salahnya ambil peluang diberikan.
"Jadi saya buka peluang kepada vendor untuk meletakkan produk mereka di sini dan syukur telah banyak dapat membantu mereka termasuk antaranya ibu yang diuji anak yang memerlukan rawatan kemoterapi susulan," kata beliau kepada Sinar Harian.
Bekas pendidik itu berkata, terdapat juga warga emas yang meletakkan produk mereka seperti kuih tradisional.
Selain itu, katanya, Gobok Kuih turut menerima produk makanan daripada vendor luar Pahang iaitu Kelantan dan Terengganu iaitu dodol dan bertih jagung.
Menurut Shahida, apam beras, popia sira dan apam comel antara menu yang laris di Gobok Kuih.
"Syukur, dari tak sampai 100 menu yang ada pada peringkat awal, jumlahnya terus bertambah dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan. Ada juga dari luar Pahang yang datang ke sini.
"Nak makanan berat, kita ada pelbagai menu nasi seperti ayam geprek, nasi ayam madu, nasi lemak selain panipuri, tapai, donat, koktail buah, durian crepe, buko dan lain-lain," kata Shahida lagi.
Memilih konsep tradisional dan santai, Shahida menjelaskan nama Gobok dipilih kerana ia sesuai dengan konsep menyediakan dan menawarkan pelbagai pilihan menu.
Ujarnya, harga yang ditawarkan juga berpatutan iaitu RM2.50 hingga RM15 bagi membantu pelanggan menikmati pelbagai menu menarik dan sedap sesuai dengan kemampuan masing-masing.
"Saya berhasrat untuk menambah lebih banyak menu istimewa dan popular bagi membantu masyarakat sekitar Temerloh menikmati makanan pilihan mereka tanpa perlu pergi luar daerah," katanya.
Sementara itu, seorang pesara, Fatimah Ismail, 60, berkata, dia berpuas hati dengan menu yang ditawarkan kerana menepati seleranya selain harga berpatutan.
"Boleh dikatakan dua tiga hari datang beli, buat stok dan kewujudan premis sebegini memang dialu-alukan," jelas warga emas tersebut.
Bagi Afikah Mohd Zaharil, 18, dia tertarik datang membeli selepas merasa sendiri menu yang dibeli oleh rakannya sebelum ini.
"Sedap dan berbaloi datang sini, harga pun tidak terlalu mahal sesuai dengan bajet," ujar pelatih sukan hoki itu.