Anak sedar dari koma, ibu anggap keajaiban daripada ALLAH

Iklan
Iasah menunjukkan bahagian tempurung kepala Muhammad Azwan Zani dibedah untuk membuang darah beku.

MACHANG - Ibu kepada pemuda yang koma lebih dua minggu akibat kemalangan membabitkan seekor babi hutan di Kampung Kemuning mengakui terkejut dengan perubahan anaknya.

Iasah Jidin, 63, berkata, keadaan Muhammad Azwan Zani, 29, merupakan satu keajaiban dan anugerah ALLAH SWT yang tidak ternilai.

Iklan
Iklan

Ibu kepada enam anak itu memberitahu, sebelum ini pakar perubatan memaklumkan Muhammad Azwan Zani mengambil masa kira-kira enam bulan untuk sedar daripada koma.

"Saya terkejut dan bersyukur apabila dia sudah boleh menggerakkan jari dan membuka mata selepas empat hari kami membawanya pulang ke rumah.

Iklan

"Sebelum itu dia ditidurkan selama seminggu kerana kritikal," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Baka di sini.

Jelasnya, bahagian leher yang ditebuk untuk minum susu khas juga sembuh sepenuhnya dan Muhammad Azwan Zani sudah boleh makan dan minum seperti biasa.

Iklan
Muhammad Azwan Zani menunjukkan gambarnya ketika koma dan menjalani rawatan di HUSM, Kubang Kerian.

Bagaimanapun katanya, kesihatan anaknya itu masih dalam pemantauan pakar perubatan dan perlu berulang-alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Iasah juga sedang memikirkan pembedahan untuk memasang semula tempurung kepala anaknya selepas membuang darah beku di kepala.

"Kami akan berbincang dengan doktor untuk memasang semula tempurung kepala kerana tidak mahu ada kesan sampingan lain selepas ini," katanya.

Sinar Harian pada 1 Jun lalu melaporkan impian seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) untuk menjadi pencipta kandungan tinggal kenangan apabila terlantar di hospital akibat dilanggar babi.

Kemalangan pada 12 Mei lalu menyebabkan Muhammad Zani cedera parah sehingga terpaksa menjalani pembedahan membuang darah beku di bahagian kepala pada hari sama.

Sementara itu, Muhammad Azwan Zani memberitahu, kesan kemalangan turut mengakibatkan mata kirinya tidak dapat melihat dan kini dalam rawatan.

Katanya, dia perlu berehat selama enam bulan bagi membolehkan kesihatan baik sepenuhnya.

"Saya juga tidak lagi aktif mencipta kandungan di media sosial kerana cepat sakit di bahagian kepala dan tidak boleh lama berada di luar rumah," katanya.