KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya yang dipercayai menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum).
Timbalan Pengarah (Forensik/Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk G S Suresh Kumar berkata, siasatan itu susulan kenyataan Abdul Hadi mendakwa DAP mahu mengekalkan pengertian Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran penjajah yang menjunjung liberalisme dan kebebasan yang diamalkan negara Barat.
Iklan
Iklan
"Kenyataan itu dipercayai dilakukan melalui hantaran Facebook Abdul Hadi pada Sabtu lalu dan ia turut diulas dalam artikel yang diterbitkan oleh sebuah portal pada tarikh yang sama," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Suresh Kumar berkata, siasatan itu dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5, JSJ Bukit Aman.
"Kes di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara," katanya.