'Pemain Naga Emas muda kena lebih tenang'

Iklan
PENYERANG veteran Vietnam, Nguyen Anh Duc meminta rakan sepasukan supaya mengatasi tekanan ketika menentang Malaysia pada aksi kedua final Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium My Dinh, di sini, malam ini.

Anh Duc, yang hanya memanaskan bangku simpanan pada aksi pertama final, berkata adalah tidak adil untuk mengkritik penyerang muda, Ha Duc Chinch, setelah gagal menyudahkan beberapa peluang jaringan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Menurutnya, penyerang berusia 21 tahun itu, masih mempunyai peluang untuk menebus kekecewaannya di laman sendiri esok.

"Oleh kerana ini perlawanan akhir, semua pemain berasa tertekan terutama di tempat lawan dan selepas aksi pertama itu, saya melihat banyak komen di media mengenai kesilapan atau peluang terlepas oleh barisan depan.

"Sebagai pemain senior, saya bertanggungjawab membantu mereka dan memberitahu penyerang muda supaya tidak terlalu memikirkan perlawanan sebelum ini malah memberi tumpuan pada perlawanan penentuan esok (hari ini),” katanya pada sidang media praperlawanan di sini semalam.

Penyerang berusia 33 tahun itu, yang menjaringkan tiga gol dalam kempen kali ini, berkata beliau cukup bersedia untuk memainkan peranan di barisan depan jika diturunkan oleh jurulatih Park Hang-seo.

"Saya tidak diturunkan pada aksi pertama kerana percaturan taktikal jurulatih...tetapi dari bangku simpanan, saya dapat merasakan kehangatan perlawanan di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, beliau akan melakukan yang terbaik sekiranya diturunkan pada aksi kedua bagi memastikan kejuaraan menjadi milik negara itu.

Vietnam berjaya membawa bekalan selesa ke Hanoi dengan kelebihan jaringan di tempat lawan selepas mencatat keputusan 2-2 pada aksi final pertama.

Anh Duc berkata suasana perlawanan malam ini adalah berbeza dengan keputusan menang 2-0 ke atas Malaysia pada peringkat kumpulan.

"Kali ini Malaysia akan terdesak untuk melakukan jaringan dan akan bermain dengan penuh semangat...justeru, kami perlu memberikan banyak tekanan kepada mereka,” katanya. - Bernama