Polis cari dua lelaki serang anjing hingga mati

Iklan
Tangkap layar klip video yang dimuat naik di Twitter yang memaparkan dua lelaki menyerang seekor anjing sehingga mati.

BALIK PULAU - Polis sedang mengesan dua lelaki selepas video memaparkan mereka telah menyerang seekor anjing yang terjatuh di dalam longkang tular sejak Ahad.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, satu klip video beserta artikel bertajuk 'Tidak cukup dilanggar motosikal, anjing tidak berdosa diseksa dua lelaki durjana sampai mati' terkesan telah tular di media sosial pada jam 6 petang, Ahad.

Iklan
Iklan

Menurutnya, menerusi video berkenaan, terdapat dua lelaki sedang menyerang sesuatu menggunakan kayu di kawasan semak.

"Menurut saksi, dia melihat dua lelaki tempatan yang tidak dikenali disyaki tinggal berdekatan tempat kejadian sedang menyerang seekor anjing yang terjatuh dalam longkang di tepi jalan.

Iklan

"Selepas merakam, dia terus menghantar rakaman kejadian itu kepada rakannya yang tinggal di Petaling Jaya, Selangor sebelum ia dimuat naik dan ditularkan melalui akaun Twitter bernama 'Syhmiee'," katanya melalui satu kenyataan pada Ahad.

Kamarul Rizal berkata, susulan daripada itu, satu laporan dibuat oleh seorang anggota polis untuk siasatan dan tindakan lanjut selepas menyaksikan klip video berkenaan.

Iklan

"Siasatan awal mendapati, kejadian tersebut berlaku pada jam 8.38 malam, 8 Julai lalu di Kampung Telok Tempoyak di Batu Maung, Bayan Lepas.

"Polis kini sedang berusaha untuk mengesan kedua-dua suspek yang terlibat untuk siasatan lanjut.

"Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan berhubung kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.

Tambah beliau, kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan denda RM50,000 didenda atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

"Pihak polis akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang mendera atau memukul binatang tanpa alasan yang munasabah.

"Kita juga mengingatkan orang ramai supaya tidak lagi menularkan video berkenaan," katanya.