MEXICO CITY - Mexico bersedia untuk menyerahkan kawalan beberapa lagi lapangan terbang utama di negara itu kepada tentera ketika Presiden Andres Manuel Lopez Obrador menyasarkan rasuah, penyeludupan dan ketirisan dalam urus tadbir di pintu masuk negara.
Tahun lalu, Lopez Obrador memberi lampu hijau kepada tentera laut untuk menguruskan hal-hal berkaitan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Benito Juarez.
Tentera laut adalah cabang pasukan keselamatan Mexico dan ia mendapat kepercayaan tinggi pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) berbanding agensi lain.
Namun, tidak lama lagi tentera akan mengawal sepenuhnya lapangan terbang paling sibuk di Mexico itu termasuk pemeriksaan kastam dan imigresen serta pengendalian bagasi termasuk pembersihan.
Lapangan Terbang Antarabangsa Benito Juarez terkenal dengan reputasi kecurian bagasi, salah urus jadual penerbangan, perniagaan tanpa kontrak dan amalan rasuah.
Enam lagi lapangan terbang bermasalah akan dikendalikan pihak tentera antaranya Matamoros di seberang sempadan dari Texas, AS dan playa del Carmen di Teluk Mexico.
Sebelum ini, Lopez Orador telah mengumumkan rancangannya untuk menyerahkan lebih 10 lapangan terbang untuk diuruskan pihak tentera menjelang akhir pentadbirannya pada 2024.
Difahamkan, menjelang akhir tahun ini, pihak tentera dijadual mula mengendalikan syarikat penerbangan komersialnya sendiri.
Pengambilalihan Lapangan Terbang Benito Juarez bertentangan dengan cadangan penerbangan antarabangsa yang jelas membezakan antara tentera dan awam, kata Rogelio Rodríguez Garduno, pakar undang-undang penerbangan di Universiti Autonomi Kebangsaan Mexico.
"Tetapi implikasi undang-undang akibat tindakan itu masih tidak jelas. Apa pun, awal tahun ini, Mahkamah Agung Mexico memutuskan bahawa pemindahan daripada kawalan awam kepada tentera adalah tidak mengikut Perlembagaan," ujar Garduno.
Pada tahun lalu, tentera telah menutup beberapa perniagaan haram di dalam lapangan terbang Benito Juarez, menambah baik pemeriksaan dan mengurangkan kes kecurian bagasi. - Agensi