JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor menyasarkan untuk mewujudkan sebanyak 100 tapak projek Akuagro RT di
seluruh negeri, terutamanya di kawasan rukun tetangga (KRT) menjelang 2025 kelak.
Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, sasaran berkenaan dilihat realistik berikutan kewujudan 54 tapak projek Akuagro RT di Johor ketika ini.
Menurutnya, tapak projek Akuagro RT mula diwujudkan sejak 2021 dan kerajaan negeri memberi peruntukan hampir RM200,000 melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) negeri Johor kepada KRT terpilih.
"Tahun 2023 merupakan tahun ketiga pelaksanaan projek Akuagro RT ini dan untuk tahun ini kerajaan negeri telah memberikan peruntukan berjumlah RM250,000,” katanya.
Tian Soon berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Penutup Seminar Sinergi Akuagro RT Johor 2023 di sini pada Sabtu.
Pada majlis berkenaan, Tian Soon turut menyempurnakan penyampaian sijil penyertaan Seminar Akuagro RT 2023.
Untuk rekod, projek Akuagro RT Johor bermula pada tahun 2021 melibatkan 14 KRT sebagai projek rintis dengan tujuan mengaktifkan KRT melalui aktiviti berbentuk integrasi sosial.
Pelaksanaan projek rintis itu telah mendapat maklum balas sangat menggalakkan daripada komuniti RT sebagai program yang menjana pendapatan melalui penjimatan perbelanjaan isi rumah.
Sehingga kini, sebanyak 54 projek Akuagro RT telah diusahakan di 10 daerah dalam negeri Johor.
Sementara itu Tian Soon berkata, peserta-peserta di tapak-tapak projek Akuagro RT di KRT terpilih sekitar negeri juga akan diberikan latihan, pengetahuan dan ilmu perihal pengurusan.
Malah katanya, sudah tiba masanya mereka (peserta projek Akuagro RT) diberikan bimbingan sewajarnya di tapak pertanian,, lebih-lebih lagi tapak Akuagro sering dikunjungi oleh tenaga pakar dalam bidang pertanian.
"Selain memberikan pandangan, kita juga mendidik mereka macam mana nak buat pasaran bagi hasil tanaman tersebut.
"Dengan ini kita harap dapat melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang pertanian ini dan sekali gus membantu negara atau negeri meningkatkan kualiti makanan.
"Selain itu, kita dapat jalinkan jaringan sosial untuk dapatkan makanan yang lebih berkhasiat dan sihat,” katanya.