KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan menyalurkan bantuan berjumlah RM10 juta kepada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) bagi membolehkan lebih ramai rakyat negara ini mendapat bantuan guaman dan akses kepada keadilan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejak mula beroperasi pada 2012, peguam daripada yayasan itu telah membantu dan mewakili ratusan ribu orang dalam prosiding jenayah.
Menurutnya, kerajaan mengakui bahawa akses kepada keadilan adalah hak asasi dan bersedia untuk memberi pertimbangan serius kepada pandangan Majlis Peguam Malaysia dalam perkara ini.
"Ada antaranya kes tertangguh sebab mereka tak dapat mempertahankan dan membela diri. Saya tengok ramai sangat yang tak dapat peluang memperolehi bantuan guaman,” katanya selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Undang-undang Malaysia (IMLC) 2023 anjuran Majlis Peguam Malaysia di Hotel Shangri-La pada Isnin.Turut berangkat, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir; Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz.
Hadir sama, Presiden Pengasas Institut Demokrasi (IDEAS), Tunku Zain Al-’Abidin Ibni Tuanku Muhriz; Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Presiden Majlis Peguam Karen Cheah Yee Lynn.
Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan, kerajaan sentiasa mengiktiraf hak asasi semua pihak untuk menuntut keadilan termasuk peranan dimainkan oleh Majlis Peguam.
"Bagi menegakkan kedaulatan undang-undang, ia tidaklah boleh dilihat daripada prisma teori perundangan semata-mata kerana prinsip sedemikian tidak boleh direalisasi sekiranya orang di jalanan tidak mampu untuk mendapatkan akses keadilan.
"Saya memuji usaha Majlis Peguam dalam menyediakan bantuan guaman, melalui skim yang ditubuhkan sejak lebih 40 tahun lalu,” katanya.