KUALA TERENGGANU - 'Sudah lebih 60 hari ibu terlantar di hospital, kami harap sangat dia dapat segera dibawa pulang, demikian luahan hati tiga beradik yang masih menantikan kepulangan ibu mereka yang kini terlantar sakit di sebuah hospital swasta di Madinah.
Zuraini Sapi'n, 32, berkata, ibu mereka, Hasmah Hamid, 62, sepatutnya pulang ke rumah mereka di Chendering, di sini pada 12 Mei lalu selepas selesai menunaikan ibadah umrah yang disertai pada 30 April.
Bagaimanapun katanya, ibu mereka yang pergi ke Tanah Suci bersama sebuah syarikat pakej umrah jatuh sakit pada 9 Mei di Madinah dan dimasukkan ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan.
"Ibu mengalami jangkitan kuman pada paru-paru dan terpaksa ditidurkan selama 40 hari.
"Selepas ibu telah sedar dan beransur pulih, pihak hospital hubungi kami di sini untuk membawa pulang ibu ke Malaysia setelah melunaskan bayaran.
"Apa yang menjadi masalah ketika ini ialah kami tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk membayar kos rawatan yang kini mencecah 212,000 riyal," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Permint Jaya di sini pada petang Ahad.
Menurut Zuraini, bil hospital yang perlu ditampung setiap satu hari bersamaan 5,000 riyal dan setakat ini sebanyak 100,000 riyal selesai dibayar menggunakan insurans.
Katanya, setakat ini terdapat baki sebanyak 112,000 riyal yang perlu dilunaskan bagi membawa pulang ibu mereka.
Difahamkan, Hasmah yang merupakan seorang ibu tunggal mempunyai dua lagi anak iaitu iaitu Zuraida, 42, dan Mohd Asdi Awang@Abidin, 28 serta sembilan cucu.
Sementara itu, Zuraini memberitahu, kerinduan mereka sekeluarga belum terubat walaupun sebahagian barang termasuk buah tangan yang dibelikan ibu mereka telah ditantar pulang.
"Sebahagian barang-barang mak sudah dihantar pulang bersama ahli rombongan umrah lain yang pulang semula ke Malaysia pada 12 Mei mengikut jadual yang ditetapkan," katanya.
Tidak hanya menunggu, Zuraini berkata, mereka sekeluarga turut mengambil beberapa ikhtiar bagi mengumpul wang yang mencukupi untuk membayar bil rawatan tersebut.
Katanya, selain menularkan di media sosial, mereka juga telah mengemukakan permohonan bagi memohon bantuan dari Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
Menurut Zuraini, setakat ini permohonan Maidam masih dalam proses manakala sumbangan awam pula telah mencecah RM37,000.
"Kami juga berharap ada pihak yang sudi membantu untuk kami segera membawa pulang kerana kami dimaklumkan risiko untuk dia kembali jatuh sakit semula tetap ada.
"Pihak hospital juga bimbang jika terlalu lama lagi ibu berada di hospital dikhuatiri menyebabkan dia menjadi murung dan tahap kesihatannya juga boleh terjejas. Lebih-lebih lagi ketika ini dia hanya berseorangan di sana," ujarnya.
Mana-mana individu yang ingin membantu keluarga tersebut boleh menghubungi Mohd Asdi di talian 014-5182657 atau menyumbang melalui akaun Maybank 5630-1933-6137.