PONTIAN - Bekas pemain bola dan rakannya yang ditahan polis selepas disyaki terbabit kes pecah rumah pada minggu lalu, disambung reman selama tujuh hari lagi.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohamad Shofee Tayib berkata, kebenaran lanjutan reman terhadap kedua-dua suspek itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Pontian pada Isnin.
"Reman ke atas seorang lagi suspek yang kini menerima rawatan akan dimohon di Hospital Pontian pada petang ini. Suspek difahamkan akan keluar wad pada petang ini," katanya ketika dihubungi pada Isnin
Ketiga-tiga suspek berusia 28 hingga 33 tahun itu sebelum ini direman bermula 4 Julai hingga Isnin.
Sebelum itu, media melaporkan seorang bekas pemain bola sepak yang dipercayai pernah beraksi untuk beberapa pasukan utama Liga Super ditahan selepas terbabit kes pecah rumah dalam kejadian di Benut pada 3 Julai lalu.
Menurut sumber, suspek yang berusia 33 tahun itu diberkas selepas melakukan jenayah pecah rumah sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian puluhan ribu ringgit.
Lelaki terbabit diberkas polis selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan sebelum mendapati dia disyaki terbabit dengan kejadian pecah rumah.
Mengikut rekod, bekas pemain bola sepak terbabit pernah beraksi bersama beberapa pasukan gergasi Liga Super di selatan dan utara tanah air.
Malah, dia juga pernah berkelana ke Liga Thailand selama dua tahun selain turut menjalani pemilihan bersama kelab berpangkalan di Jepun.
Kali terakhir dia beraksi bersama pasukan Liga Super adalah pada 2018 bersama kelab berpangkalan di utara tanah air sebelum bekas pemain itu dikatakan menukar haluan dengan bermain bersama skuad Liga M3.