'Tak patut ambil serius sangat', Anwar enggan ulas dakwaan Tun M

Iklan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) ketika sesi dialog bersama moderator Christopher Leong pada Persidangan Undang-Undang Malaysia Antarabangsa 2023 hari ini.

- Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan kerajaan mempromosi negara berbilang bangsa sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan merupakan cubaan terdesaknya untuk kelihatan relevan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana, Dr Mahathir telah hilang pengaruhnya selepas mengalami kekalahan besar di kerusi Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Iklan
Iklan

"Dia (Mahathir) hilang deposit di Langkawi, saya rasa kita tidak patut ambil serius sangat.

"Sudah tentu (ini) percubaan terakhirnya untuk dilihat relevan. Saya akan menjadikan dia tidak relevan. Saya tidak akan mengulas mengenainya," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab semasa Persidangan Antarabangsa Undang-undang Malaysia (IMLC) 2023 anjuran Majlis Peguam Malaysia di Hotel Shangri-La di sini pada Isnin.

Beliau menjawab soalan bekas Presiden Badan Peguam Malaysia, Christopher Leong berkenaan kesan terhadap kenyataan yang dilakukan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu.

Iklan

Pada 3 Julai, Dr Mahathir mendakwa tindakan mempromosi negara berbilang bangsa adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kenyataan balas terhadap Ketua Penerangan UMNO Tasek Gelugor, Huzaidi Hussin yang memintanya berhenti memainkan sentimen perkauman, Dr Mahathir berkata, beliau hanya menyuarakan peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan.

Selain itu, menurut Anwar, meskipun Perlembagaan dengan jelas menyatakan untuk memelihara hak Melayu, namun ia turut menuntut supaya melindungi warganegara Malaysia.

"Saya tidak faham kenapa pada 2023, kita (masih) buntu. Kita tidak cakap pasal tadbir urus, kita tidak cakap pasal ekonomi ataupun ekonomi digital.

"Kita masih tersangkut tentang siapa yang memiliki negara sama ada Melayu atau Cina,” ujarnya.

Dalam masa sama, Anwar sekali lagi mencabar Dr Mahathir dan pemimpin yang kononnya mahu membantu orang Melayu supaya menyerahkan separuh harta mereka.