ALOR GAJAH - Kementerian Kerja Raya (KKR) akan membantu Melaka menjayakan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 dengan memberi fokus kepada sistem penyuraian trafik di beberapa lokasi tumpuan di negeri ini.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, berdasarkan perbincangan bersama Ketua Menteri Melaka, ia termasuk untuk mengindahkan beberapa kawasan persekitaran serta permasalahan jalan untuk dipertimbangkan berdasarkan permohonan.
Menurut beliau, dalam perbincangan itu, Melaka juga telah memaklumkan beberapa jalan yang telah disenaraikan untuk diberikan tumpuan dan dipertimbangkan kementeriannya sebagai persediaan TMM 2024.
"Pagi tadi (Isnin) saya bincang di pejabat Ketua Menteri, projek-projek diinginkan dan kita faham tahun depan juga TMM dan kita akan buat persediaan macam-macam.
"Termasuk kemudahan-kemudahan yang berkaitan lebuh raya dan jalan-jalan persekitaran dan lain-lain, saya sudah terima senarai, teliti dan akan hulurkan bantuan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas perasmian projek jalan pintas baharu dari persimpangan Jalan Alor Gajah Lama (M17) ke Taman Murai Jaya yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Taman Murai Jaya di sini pada Isnin.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari dan Pengarah JKR Melaka, Datuk Ismail Abd Rahman.
Projek sepanjang 240 meter itu bermula pada Julai 2020 dan telah disiapkan pada 10 Julai lalu dengan kos RM8.7 juta di bawah peruntukan kerajaan negeri.
Jalan pintas itu dijangka mengurangkan kesesakan di Pekan Durian Tunggal sehingga 60 peratus dan tempoh pemanduan dapat dipendekkan dari 10 minit kepada tiga mint dari Durian Tunggal menghala ke Lebuh Ayer Keroh.