GOMBAK - Seorang lelaki hidup umpama pelarian dan sentiasa berada dalam ketakutan kerana bimbang ditangkap polis ekoran ketiadaan dokumen diri sejak dilahirkan.
Gusharika Suparman, 27, berkata, pendaftaran lewat antara punca dia tidak memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan.
Menurutnya, kesedaran memiliki kad pengenalan mula timbul ketika usia mencecah 16 tahun susulan sukar mendapat pekerjaan dan menyelesaikan urusan-urusan berkaitan termasuk bagi mendapatkan lesen kenderaan serta membuka akaun bank.
"Saya lahir di klinik swasta dan dibesarkan mak cik selepas mak ayah berpisah menyebabkan saya sedikit terabai sejak kecil," katanya ketika menerima lawatan daripada Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) di Tanah Gantian Sungai Tua pada Isnin.
IRIMM menziarahi Hemalini Suparman, 29, iaitu kakak Gusharika yang terlantar sakit selepas kemalangan kereta pada 2019.
Hemalini merupakan ibu kepada dua anak, kini tidak dapat menguruskan diri dan perlu mendapat penjagaan rapi daripada keluarga dibantu sepupu yang tinggal berhampiran.
Gusharika berkata, dia buntu memikirkan nasib diri yang telah beberapa kali berusaha untuk membuat permohonan dokumen diri namun sehingga kini belum menemukan jalan penyelesaian.
"Jika dahulu saya mohon kad pengenalan untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik namun kini keutamaan saya adalah kepada menguruskan kakak saya yang terlantar sakit.
"Jika apa-apa berlaku kepada saya, siapa yang akan uruskan kakak saya. Sebelum ini, saya telah beberapa kali ditahan polis namun alhamdulillah, polis memahami situasi dialami saya.
"Besar harapan saya, ada pihak sudi bantu memudahkan proses permohonan saya mendapatkan dokumen diri," katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda IRIMM, Mohd Kassim Alla Pitchay berkata, pihaknya akan membantu Gusharika menyelesaikan isu permohonan dokumen diri dengan memanjangkan perkara tersebut kepada pihak berkaitan.
Pada masa sama katanya, pihaknya juga akan menyalurkan bantuan yang perlu bagi mengurangkan beban keluarga berkenaan menguruskan Hemalini serta dua anaknya berusia lapan dan sembilan tahun.