PORT DICKSON - [DIKEMAS KINI] Elaun kursus anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dinaikkan RM40 sehari dengan implikasi kewangan RM1.8 juta setahun bermula awal bulan ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penambahan kadar elaun itu memanfaatkan lebih 10,000 sukarelawan APM di negara ini.
Beliau berkata, kali terakhir kadar elaun itu disemak adalah pada 1970 dengan jumlah RM5 sehari dan ia selaras dengan penambahbaikan APM dalam aspek pengukuhan organisasi, kompetensi dan insani.
"Walaupun kerajaan menghadapi masalah kewangan, APM melihat wajar dinaikkan kerana kali terakhir elaun kursus sukarelawan ini disemak pada 1970, hanya RM5 sehari.
"Kursus ini penting kerana kita mahu sukarelawan ini naik taraf kemahiran. Mengikut statistik, dalam tempoh lima tahun ini anggota sukarelawan telah menyelamatkan 461 nyawa melibatkan kes lemas di pantai," katanya ketika berucap pada majlis penutup Civil Defence Beach Lifeguard Challenge (CDLC) Peringkat Kebangsaan 2023 di Pantai Batu 5, di sini pada Isnin.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong dan Ketua Pesuruhjaya APM Aminurrahim Mohamed.
Dalam pada itu, Armizan berkata, kementerian akan mengemukakan kepada kerajaan berkenaan keperluan mewujudkan perjawatan kontrak dalam APM bagi memperkukuh peranan agensi itu sebagai urus setia jawatankuasa pengurusan bencana di daerah dan negeri.
"Pengurusan bencana ini bergerak atas tiga lapisan jawatankuasa, iaitu di peringkat pusat, negeri dan daerah. Bagi negeri dan daerah, urus setia sekretariat kepada pengurusan bencana ialah APM," katanya.
Beliau berkata, perjawatan kontrak itu penting untuk diwujudkan kerana melibatkan tugas seperti merekod aset APM yang semakin bertambah dari semasa ke semasa.
Pada program hari ini, sebanyak 402 penyertaan terdiri daripada 15 kontinjen APM negeri, tiga pasukan agensi luar dan lima pasukan Kadet Sekolah Pertahanan Awam (KASPA).
Program itu merupakan inisiatif APM bagi mengenal pasti tahap kemahiran dan kecergasan serta semangat berpasukan dalam kalangan anggota penyelamat pantai APM serta memperkasakan prosedur dan tanggungjawab petugas penyelamat setaraf profesional.
Antara acara diadakan ialah beach sprint, beach flag, run-swim-run, surf board relay, Rigid Inflatable Boat Race, ocean endurance dan rescue tube race. - Bernama