KUALA LUMPUR - Pemuda Perikatan Nasional (PN) mendesak Pengerusi DAP, Lim Guan Eng meminta maaf secara terbuka dan membela diri dengan membuat laporan polis berhubung isu perkauman yang dilontarkan dalam media sosial baru-baru ini.
Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kenyataan yang dibuat bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berhubung meroboh kuil adalah satu perbuatan yang cukup rasis, melampau serta prejudis terhadap kepimpinan PN terutama di Kedah.
Beliau yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, sebagai bekas Ketua Menteri, Guan Eng pastinya tahu tugas-tugas penjawat awam termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ia bukan campur tangan politik atau arahan politik.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, Guan Eng sewajarnya memahami garis kuasa dan bidang kuasa yang diperuntukkan dalam menguruskan negeri masing-masing.
"Saya tidak faham kenapa Guan Eng sanggup meracuni pemikiran pengundi Cina dan menakutkan mereka dengan Gelombang Hijau.
"Untuk itu, kami menuntut Guan Eng memohon maaf secara terbuka kepada PN dan seluruh umat Islam berhubung kenyataan yang telah dibuat itu," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pemuda PN Selangor membuat laporan polis terhadap Guan Eng di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dekat sini pada Isnin.
Hadir sama Ketua Pemuda PN Selangor, Mohamed Sukri Omar yang juga Ketua Pemuda Pas Selangor serta Ketua Biro Hak Asasi Manusia Pemuda Gerakan, Cooper Khoo Kuan Yiaw.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata, sebanyak 50 laporan polis dibuat oleh PN di seluruh negara terhadap Guan Eng berkaitan isu terbabit.
Sehubungan itu, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh mengambil tindakan susulan ekoran laporan yang telah dibuat di seluruh negara.
Selain itu menurutnya, Pemuda PN turut meminta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil untuk mengotakan janjinya bahawa mana-mana pihak atau individu yang bermain dengan isu 3R iaitu kaum, agama dan raja di media sosial, dia akan menghantar kereta polis di hadapan rumah mereka.
"Maka kami Pemuda PN ingin melihat Guan Eng hadir ke balai polis untuk memberi keterangan dan penjelasan berhubung perkara ini," ujarnya.
Diminta mengulas bahawa Guan Eng menyatakan kenyataan itu telah disalah tafsir oleh beberapa media, Wan Ahmad Fayhsal berkata, Ahli Parlimen Bagan itu boleh membuat laporan polis dan membela dirinya.
Jelasnya, sekiranya Guan Eng berasakan dia tidak bersalah dan laporan media tidak benar, dia boleh bertindak menyaman media terbabit.
"Untuk keadilan, Guan Eng perlu membuat laporan polis dan menjelaskan segalanya, sekali gus membela dirinya.
"Kita Pemuda PN boleh 'tutup buku' sekiranya dia tampil memohon maaf secara terbuka demi keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini," ujarnya.
Guan Eng sebelum ini menolak dakwaan beliau sengaja membangkitkan isu 3R ketika menyentuh berkenaan perobohan tokong Budha atau Cina dalam ucapan pada satu program di Jelutong, Pulau Pinang.
Sementara itu, menerusi kenyataan di Facebooknya, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu menegaskan, ucapannya sudah diputar belit, seolah-olah ada pihak ingin merobohkan tokong Budha atau Cina.
Jelasnya, dia merujuk kepada kes sebuah kuil Hindu dirobohkan pada Julai 2020 di Kedah dan turut melampirkan keratan akhbar untuk menyokong kenyataan beliau.