Hentikan pindaan Perlembagaan isu kanak-kanak tanpa kerakyatan

Iklan
Tunku Zain semasa ucapan aluan pada IMLC 2023 pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Pindaan Perlembagaan yang memburukkan lagi isu kanak-kanak tidak mempunyai kerakyatan perlu dihapuskan sepenuhnya.

Pengerusi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz berkata, cadangan pindaan pemansuhan Seksyen 1(e) dalam Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan adalah merupakan contoh dasar yang tidak difikirkan dengan baik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, cadangan pindaan Perlembagaan itu dianggap regresif iaitu terkebelakang.

"Bagaimanapun, kami amat kecewa dengan pindaan lain yang boleh memburukkan lagi isu tanpa kerakyatan dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada ucapan aluan Persidangan Antarabangsa Undang-undang Malaysia (IMLC) 2023 anjuran Majlis Peguam Malaysia di Hotel Shangri-La pada Isnin.

Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mendesak kerajaan untuk mengkaji semula cadangan memansuhkan peruntukan dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan bagi kedudukan kanak-kanak terpinggir atau terbuang.

Iklan

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan oleh pemegang-pemegang taruh yang telah berbincang dengan kerajaan berhubung pemansuhan peruntukan itu.

Berdasarkan kenyataan itu, kerajaan berkemungkinan mencadangkan pemansuhan peruntukan Seksyen 1(e) dalam Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan berkenaan Perkara 14(1)(b) yang menyatakan 'tiap-tiap orang yang lahir di Persekutuan dan pada masa dia lahir, tidak menjadi warganegara mana-mana negara selain menurut kuasa perenggan ini'.

Peruntukan itu adalah bagi memastikan bukan sahaja kumpulan kanak-kanak tersebut dapat akses kepada hak asasi termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan tempat tinggal tetapi ia juga adalah satu bentuk perlindungan kepada mereka yang tidak bersalah dan tidak boleh dipersalahkan atas keadaan yang menimpa mereka.

Tunku Zain berharap agar negara ini dapat menjalankan tanggungjawab mengikut Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-kanak yang telah diratifikasi oleh kerajaan pada 1995.

"Selepas tekanan daripada masyarakat sivil, bekas menteri dan kini malah di kalangan kabinet, saya berharap cadangan yang menggemparkan ini dihapuskan,” ujarnya.