SEBUAH firma keselamatan dan risikan siber berpangkalan di Malaysia, Velum Labs Sdn Bhd (Syarikat Sapura) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi mengukuhkan, mempromosi dan membangunkan keupayaan siber negara secara strategik.
Majlis yang disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof itu diadakan bersempena dengan pelancaran Persidangan Pertahanan dan Keselamatan Siber (CYDES) 2023 di ibu negara pagi Isnin.
Velum Labs dalam satu kenyataan berkata, kerjasama tersebut adalah satu pengiktirafan kepada keunggulan keupayaan Malaysia yang terbukti dalam industri kritikal seperti keselamatan siber.
Katanya, Velum Labs berbesar hati untuk menjadi rakan kongsi NACSA dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam peranan mereka sebagai agensi peneraju bagi memantau dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan keselamatan siber.
"Perkongsian bersama antarabangsa lain dengan Velum Labs seterusnya menunjukkan Malaysia kini diiktiraf sebagai penyedia utama untuk perisikan siber dengan jangkaan pertumbuhan yang ketara dalam bidang ini dalam kedua-dua pasaran ASEAN dan antarabangsa," katanya pada Isnin.
Menurut Velum Labs, pihaknya dan Sapura juga merupakan penaja utama permainan siber 'Capture the Flag' yang akan diadakan di CYDES 2023.
"Penajaan itu dibuat kerana menyedari kepentingan pembangunan modal insan khususnya dalam sektor keselamatan siber. Ia juga bertujuan untuk menghimpunkan pemegang kepentingan yang berkaitan untuk membentuk agenda keselamatan siber Malaysia.
"Pertandingan siber peringkat kebangsaan ini akan menyaksikan sepuluh pasukan terdiri daripada empat universiti tempatan untuk bersaing mewakili Malaysia pada temasya CyberSEA akan datang di Bangkok Thailand pada akhir tahun ini," jelasnya.