Bicara bela diri Bung Moktar, Zizie Izette tangguh

Iklan
Bung Moktar dan isterinya, Zizie Izette.

KUALA LUMPUR - Prosiding bela diri Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, yang didakwa atas tiga pertuduhan rasuah dan dijadualkan selama sembilan hari bermula Isnin, ditangguhkan oleh Mahkamah Sesyen, di sini.

Pasangan suami isteri itu sepatutnya memberikan keterangan bela diri bermula hari ini hingga Jumaat, serta 20, 21, 24, dan 25 Julai.

Iklan
Iklan

Hakim Rozina Ayob melapangkan tarikh perbicaraan berkenaan, selepas Timbalan Pendakwa Raya, Low Chin How memaklumkan mengenai perkembangan status rayuan berhubung permohonan semakan kedua-dua tertuduh di Mahkamah Rayuan, Jumaat lepas (7 Julai).

Rozina menetapkan 13 September untuk sebutan kes bagi status semakan permohonan pasangan suami isteri itu.

Iklan

Chin How berkata, Mahkamah Rayuan pada Jumaat lepas, memerintahkan permohonan pasangan itu untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan mereka membela diri, dikembalikan ke Mahkamah Tinggi bagi membolehkan meritnya didengar dan diputuskan.

"Permohonan kedua-dua tertuduh sebelum ini ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 9 Disember tahun lepas, selepas membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan. Oleh itu, tarikh sebutan permohonan pasangan itu ditetapkan pada Jumaat ini (14 Julai) di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi yang sama,” katanya.

Iklan

Jumaat lepas (7 Julai), panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin, memerintahkan permohonan semakan pasangan itu dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untuk mempertimbangkan merit permohonan itu.

Pada 9 Disember tahun lepas, Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menolak permohonan semakan yang difailkan pasangan itu tanpa mendengar merit permohonan tersebut.

Hakim Azhar menolak permohonan semakan tersebut selepas menerima bantahan awal pihak pendakwaan, yang menyatakan pasangan itu telah menggunakan kaedah yang salah untuk memfailkan permohonan.

Pada 2 September 2022, Rozina memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen Public Mutual, Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Beliau juga didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015, manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. - Bernama