Bilangan penganggur turun kepada 584,60 orang pada Mei

Iklan
Seramai 313,000 penganggur belia berusia 15 hingga 24 tahun direkodkan pada Mei berbanding 315,600 pada April. - Foto hiasan/Bernama

KUALA LUMPUR - Bilangan penganggur terus menurun pada Mei tahun ini dengan pengurangan sebanyak 0.4 peratus kepada 584,600 orang berbanding 586,900 pada April, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM menerusi Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Mei 2023 yang disiarkan pada Isnin memaklumkan kadar pengangguran pada Mei tahun ini tidak berubah dari bulan sebelumnya iaitu kekal pada 3.5 peratus.

Iklan
Iklan

Menurut DOSM, bilangan tenaga buruh pada Mei tahun ini terus mencatatkan trend menarik dengan peningkatan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.86 juta orang berbanding 16.84 juta orang pada April.

"Kadar penyertaan tenaga buruh Mei kekal pada 70 peratus seperti pada bulan sebelumnya,” menurut jabatan itu.

Iklan

DOSM turut memaklumkan bilangan penduduk bekerja pada Mei 2023 meningkat secara berterusan dengan pertambahan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.28 juta orang berbanding 16.25 juta orang pada April.

Menurut DOSM, kadar pengangguran bagi belia berusia 15 hingga 24 tahun menurun sebanyak 0.1 peratus kepada 11 peratus dengan seramai 313,000 penganggur belia pada Mei tahun ini berbanding 11.1 peratus dengan 315,600 penganggur belia berbanding April.

Iklan

Bagaimanapun, kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 30 tahun meningkat sebanyak 0.3 peratus kepada tujuh peratus dengan 448,600 penganggur belia berbanding 6.7 peratus pada April dengan 441,000 penganggur belia.

Jabatan itu memaklumkan bilangan penduduk di luar tenaga buruh pada Mei tahun ini terus mencatatkan penurunan kecil sebanyak 0.02 peratus walaupun jumlahnya tidak berubah iaitu 7.23 juta orang sejak April.

DOSM memaklumkan susulan ekonomi Malaysia dijangka berdepan cabaran berikutan kedudukan ekonomi global yang tidak menentu, yang digambarkan oleh indikator Indeks Pelopor Malaysia pada April, pasaran buruh juga dilihat akan berdepan dengan ketidaktentuan.

"Oleh itu, tenaga buruh dijangka berkembang pada kadar yang sederhana dalam beberapa bulan akan datang,” menurut DOSM. - Bernama