PEMAIN remaja, Arshdip Singh dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Andalas meraih kejuaraan berganda apabila acara perseorangan dan beregu bawah 15 tahun (B-15) lelaki dalam pusingan satu kelayakan Kejohanan Badminton Remaja Allianz (AJBC) di Kuala Lumpur pada Ahad.
Kejayaan itu merupakan satu peningkatan buat Arshdip yang memenangi gelaran perseorangan B-15 di Terengganu tetapi tewas dalam kategori beregu.
Kali ini dia tidak tersilap langkah lagi apabila menewaskan Teh Cheng Yao dari SMK Seri Bintang Selatan secara straight set untuk gelaran perseorangan.
Dia kemudian melangkah semula ke gelanggang bersama gandingannya, Vehaan Preman dari SMK Bukit Tinggi untuk merebut gelaran beregu.
"Saya sangat gembira kali ini memenangi kedua-dua kejuaraan bagi menebus kekecewaan tahun lalu di Terengganu.
"Saya bekerja lebih keras kali ini dan hasilnya dapat dilihat hari ini (Ahad),” kata Arshdip selepas perlawanan.
Turut mengikut jejak kejayaan Arshdip ialah Teh Xin Ying dari SMK Seri Bintang Selatan yang meraih gelaran dalam acara perseorangan dan Beregu B-15 perempuan.
Pemain remaja, Kiera Wong dari SMK Bandar Puchong Jaya B turut cemerlang apabila memenangi acara perseorangan dan beregu B-13 perempuan.
AJBC kembali tahun ini dengan pusingan kelayakan tambahan di Sabah, Sarawak dan Pahang, menjadikan jumlah keseluruhan lokasi kepada 10 dan dijangka menarik lebih 2,500 bakat muda badminton berbanding lebih 500 edisi lepas.
Kejohanan itu disokong oleh Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan ia dijadualkan berlangsung di seluruh negara mulai bulan ini.
Pusingan kelayakan selama tiga hari akan diadakan di seluruh negara di 10 lokasi dari Julai hingga November dengan grand final selama empat hari bermula 16 hingga 19 November di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Pemenang perseorangan dan beregu AJBC 2023 grand final masing-masing akan memperoleh RM1,000 dan RM1,200.
Pemenang di semua 10 pusingan kelayakan akan membawa pulang RM500 dengan juara beregu memperoleh RM600.