LAHAD DATU - Seorang wanita maut manakala tiga lagi parah selepas kenderaan yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di Jalan Sabahan Lahad Datu-Tawau di sini, pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, mangsa berusia 50-an disahkan maut di lokasi kejadian manakala tiga lagi dihantar ke hospital untuk rawatan selanjutnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, seramai sembilan anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 38 kilometer.
Menurutnya, kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton Saga dinaiki lima individu yang bertembung dengan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
"Seorang mangsa iaitu kanak-kanak telah dibawa ke hospital sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.
"Pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat dan empat mangsa berjaya dikeluarkan, namun tiga daripadanya mengalami kecederaan parah dan seorang lagi disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau berkata, identiti semua mangsa belum diketahui setakat ini.
"Operasi ditamatkan pada jam 5.15 petang," katanya.