Suami isteri maut selepas hantar anak daftar kolej

Iklan
Sebuah kereta yang dinaiki empat sekeluarga terbabas menyebabkan dua daripadanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. - Foto ihsan Bomba Perak

GOPENG - Sepasang suami isteri maut selepas kereta Proton Perdana yang dinaiki mereka terbabas melanggar pagar sebuah premis di Kilometer 3.5, Jalan Gopeng-Kota Bharu di sini pada Isnin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5.20 petang itu, mangsa, Mohd Ramddan Abd Rahim, 44, dan isterinya, Kisdalliana Saad, 43, yang merupakan penumpang belakang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

Ibu Kisdalliana berusia 63 tahun yang juga pemandu kereta dan anak perempuan pasangan terbabit berusia 7 tahun dilaporkan cedera parah di bahagian kepala.

Difahamkan, pasangan suami isteri itu baru mendaftar masuk anak mereka di Kolej Matrikulasi Perak dan keluar membeli barang keperluan sebelum terbabit kemalangan ketika mahu menghantar barangan yang dibeli.

Iklan

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, laporan awal kemalangan diterima melibatkan sebuah kereta yang terbabas sendiri.

Bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta yang terbabas di Jalan Gopeng-Kota Bharu di Gopeng pada Isnin. - Foto ihsan Bomba Perak

"Hasil siasatan mendapati lokasi kejadian merupakan kawasan kilang memproses tayar terpakai. Kenderaan berkenaan dipandu dari arah Gopeng menuju ke Kota Bharu.

Iklan

"Kereta terbabit didapati berada di atas pagar dengan kedua-dua mangsa berada berhampiran kenderaan itu. Difahamkan mayat mangsa dialihkan oleh pihak bomba," katanya.

Menurut Mohamad Nazri, kedua-dua mangsa yang parah pula dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Tambah beliau, punca kemalangan masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, operasi menyelamat dijalankan oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng.

"Terdapat seorang lelaki tersepit di bahagian penumpang manakala tiga yang lain dikeluarkan oleh orang awam.

"Pasukan menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurut beliau, mangsa yang parah dihantar mendapatkan rawatan di hospital dengan menggunakan ambulans dan jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).